WELCOME

NicE 2 mEet AlL oF u & w
elcome to my page... That just a little info, I wouLD like To Share wIT aLl of U mY Prenzz

Don't 4get, u all can email me.. if u want communicate or advised abt study or assignment

Saturday, July 21, 2012

MALAYSIA KITA

Malaysia unik dengan kepelbagaian masyarakatnya yang berbilang bangsa, etnik dan agama. Keunikkan masyarakat di negara ini menjadikan Malaysia istimewa di mata dunia. Penduduk dominan Malaysia sebelum wujudnya penjajahan dari negara-negara luar adalah Melayu. Suatu ketika dulu, Malaysia juga dikenali dengan nama Tanah Melayu. Pembentukkan Malaysia pada 16 September 1969, Tanah Melayu digantikan dengan nama Malaysia. Mengikut rentetan sejarah, Malaysia telah dijajah sejak 20 Mac 1824 sehingga 31 ogos 1957. Tempoh 129 tahun telah banyak memberi implikasi kepada pembangunan negara sehingga kini termasuklah perhubungan etnik di negara ini. Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sejak merdeka dan sehingga 31 Ogos 2009, Malaysia telah mengecapi kemerdekaan selama 52 tahun. Suatu tempoh panjang yang membolehkan rakyat Malaysia membentuk kerajaan mengikut acuan sendiri. 

Terdapat tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu (termasuk masyarakat pribumi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak), Cina dan India. Kepelbagaian kaum di Malaysia terhasil daripada proses migrasi, perdagangan, hubungan diplomatik, dan perkahwinan. Mengikut komposisi penduduk di Malaysia pada tahun 2005, masyarakat Melayu terdiri daripada 16.06 juta mewakili 65.9 peratus penduduk diikuti oleh masyarakat Cina terdiri daripada 6.15 juta mewakili 25.3 peratus dan masyarakat India terdiri daripada 1.83 juta mewakili 7.5 peratus. Termasuklah masyarakat minoriti di Malaysia terdiri daripada 0.32 juta mewakili 1.3 peratus. Kegemilangan Malaysia dapat dilihat melalui pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, sosial, agama dan budaya. Pencapaian Malaysia dalam aspek-aspek ini berlandaskan kepada keharmonian dan perpaduan etnik secara amnya. di kalangan seluruh rakyat Malaysia. Dalam era globalisasi pelbagai cabaran dihadapi dalam memupuk perpaduan kaum. Pelbagai pendekatan telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memupuk perpaduan berterusan.

KEPELBAGAIAN ETNIK DI MALAYSIA 

Masyarakat merupakan kelompok manusia yang mempunyai budaya dikongsi bersama dan berbeza dengan budaya lain serta mempunyai kawasan geografi tersendiri, bersepadu sebagai satu kelompok dan melihat diri mereka berbeza berbanding orang lain. Umumnya, masyarakat saling berinteraksi dan berkongsi wilayah sama serta terlibat atau mengamalkan budaya yang sama. Terdapat tiga kumpulan etnik utama di Malaysia iaitu Melayu (pribumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak), Cina dan India. 

Masyarakat Melayu (Pribumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak)

Konsep pribumi secara umum merujuk kepada kumpulan etnik yang naif kepada wilayah dituntut dan dipertahankan sepenuhnya oleh sesebuah negara. Konsep pribumi secara khusus pula merujuk kepada penduduk asal Malaysia yang terdiri daripada orang melayu dan orang asli di Semenanjung Malaysia serta kumpulan etnik pribumi di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 2000, penduduk Pribumi meliputi 65 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia dan dianggarkan sebanyak 14.35 juta mengikut komposisi penduduk Malaysia. Pada tahun 2005, jumlah penduduk Pribumi telah bertambah kepada 65.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia dan dianggarkan sebanyak 16.06 juta. 

Masyarakat Pribumi Semenanjung Malaysia

Masyarakat Pribumi di Semenanjung Malaysia meliputi orang Melayu dan orang asli. Orang asli terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli atau Melayu-Proto. Kumpulan Negrito terdiri daripada suku bangsa Kinsui, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendrig dan Bateq. Kumpulan Senoi terdiri daripada suku bangsa Temiar, Semai, Semoq Beri, Che’ Wong, Jah Hut dan Mahmeri. Kumpulan Melayu Asli dan Melayu-Proto terdiri daripada suku bangsa Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar dan Orang Laut.

Masyarakat Pribumi di Sabah

Masyarakat di Sabah terdiri daripada empat kelompok utama seperti Kadazan Dusun mewakili 24.8 peratus daripada jumlah populasi masyarakat Sabah diikuti kategori pribumi lain sebanyak 20.6 peratus, Bajau 18.5 peratus dan Melayu 18.5 peratus. Masyarakat Pribumi di Sabah dikatakan berasal daripada Tanah Besar Asia yang bertutur dalam kelompok bahasa Austronesia. Masyarakat Pribumi di Sabah adalah Kadazan / Dusun, Murut, Lun Dayeh, Bisaya, Bajau, Kedayan, Orang Sungei, Melayu Brunei, Iranun dan Suluk. 

Masyarakat Pribumi di Sarawak

Di Sarawak etnik Dayak, Melayu dan Melanau berjumlah 73.2 peratus daripada 2.181 juta orang penduduk Sarawak. Etnik Dayak mewakili 44.3 peratus daripada jumlah penduduk diikut oleh etnik Melayu sebanyak 23.2 peratus dan Melanau sebanyak 5.7 peratus. Masyarakat Pribumi di Sarawak adalah Bidayuh, Iban, Melayu, Kayan, Kenyah, Kelabit, Murut dan Lun Bawang, Punan, Penan, Melanau, Kedayan dan Bisayah.

Masyarakat Cina

Menurut sejarah, Masyarakat Cina mula bertapak di Malaysia pada zaman Keagungan kerajaan kerajaan Melayu Melaka. Petempatan awal orang Cina adalah di Melaka. Pada tahun 1403, Laksamana Yin Ching mengetuai rombongan di Melaka membawa permintaan Parameswara kepada Maharaja China memohon untuk bernaung di bawah perlindungan negara China. Pada tahun 1405, utusan dari China diketuai Laksamana Cheng Ho membawa perutusan pengiktirafan Parameswara sebagai pemerintah kerajaan Melaka oleh maharaja China. Melaka terus berkembang sebagai pusat perdagangan yang masyhur. 

Kegemilangan Melaka menyebabkan maharaja China menghantar puterinya iaitu Puteri Hang Li Po untuk dikahwinkan dengan sultan Melaka iaitu Sultan Mansur Syah. Puteri Hang Li Po bersama pengikutnya kira-kira 500 orang telah disambut baik oleh sultan Melaka dan kesemuanya memeluk agama Islam. Dipercayai Puteri Hang Li Po dan pengikutnya menetap di suatu tempat dalam daerah Melaka yang dihadiahkan oleh sultan. Kawasan petempatan dinamakan Bukit Cina. Perkahwinan sekufu dan silang budaya masyarakat Cina telah meningkatkan hubungan diplomatik di antara negara China dengan Melaka serta mewujudkan masyarakat Cina terawal di Melaka khasnya dan di negara ini amnya. 

Mengikut catatan sejarah, masyarakat Cina di Malaysia berasal dari China Selatan iaitu dari wilayah Fukien, Kwangtung dan Kwangsi. Kelompok utama etnik Cina adalah Hokien, Kantonis, Hakka, Teochew dan Hailam. Kemasukan etnik Cina di Malaysia dipercayai melalui sistem Kontrak yang diperkenalkan sejak tahun 1848 hingga 1914. Selepas tahun 1914, majoriti kemasukan orang-orang Cina adalah secara persendirian. Etnik Cina aktif sebagai pekerja lombong (di kawasan Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Ampang, Seremban dan lain-lain) dan membuka kedai runcit. 

Masyarakat India

Mengikut catatan sejarah, masyarakat India di Malaysia berasal dari India Selatan (Tamil Nadu). Kelompok utama etnik India adalah Tamil, Malayani, Telugu dan Sikh. Kemasukan etnik India di Malaysia dipercayai melalui sistem Kontrak yang diperkenalkan sejak tahun 1880an hingga 1910. Pada tahun 1891, terdapat 75,000 orang India di Tanah Melayu dan jumlah ini telah meningkat kepada 471,536 orang pada tahun 1921. Etnik India aktif sebagai buruh ladang getah dan pekerja kemudahan asas (buruh pembinaan) seperti membina jalanraya dan keretapi. 

by: Oliyabra Haji Madyusa_1:29_29/07/12

No comments:

Post a Comment