KOMSAS merupakan kata akronim bagi istilah “Komponen Kesusasteraan Melayu”. KOMSAS merupakan komponen dalam subjek bahasa Melayu. KOMSAS telah diperkenalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk pelajar Tingkatan 1 hingga 5 di semua sekolah menengah di Malaysia[1]. Dalam tugasan ini, antologi teks komponen sastera dalam mata pelajaran bahasa Malaysia untuk Tingkatan 4 berjudul “Harga Remaja” dijadikan teks pilihan untuk memperihalkan tentang elemen KOMSAS dalam teks berkenaan.
Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu telah lama mengaplikasikan bahan sastera untuk mencapai matlamat dan objektif dalam pendidikan bahasa Melayu. Penerapan komponen sastera iaitu KOMSAS dalam pendidikan masa kini telah melalui beberapa siri kajian dan penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh beberapa orang ahli bahasa. Bahan-bahan KOMSAS yang digunakan oleh pelajar sehingga kini adalah bersesuaian dengan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Contohnya, dalam teks berjudul “Harga Remaja”, bahan-bahan yang terkandung dalam teks ini telah melalui perakuan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. Tujuannya agar kualiti bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan adalah terpelihara.
KOMSAS berperanan penting dalam pembentukan emosi berkesan dan mengutamakan penikmatan hasil karya yang indah, pelahiran perasaan dan penghayatan seperti yang telah dinyatakan oleh saudara Nadzeri Isa. Selain itu, pelaksanaan KOMSAS adalah bertepatan dengan Kurikulum Bahasa Melayu sekolah menengah iaitu bertujuan memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Di samping menyediakan pelajar-pelajar dengan kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan peraturan tatabahasa dengan betul dan tepat, kurikulum juga bertujuan mengembangkan kemahiran berfikir secara lebih kritis dan kreatif.
Sukatan bahasa Melayu sekolah menengah merangkumi tiga bidang penggunaan bahasa iaitu bidang interpersonal, bidang maklumat dan bidang estetik. Penumpuan dalam bidang-bidang ini dikatakan melahirkan pelajar berkemampuan menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan seharian, bidang kerjaya dan bidang ilmu seumur hidup. Dalam kurikulum bahasa Melayu sekolah menengah, komponen kesusasteraan Melayu telah dimasukkan dengan harapan dapat memupuk minat membaca, melahirkan kenikmatan membaca dan penghayatan terhadap bahan sastera. Objektif sukatan pelajaran bahasa Melayu Tingkatan 4 yang dikeluarkan oleh pusat perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 2003 adalah seperti berikut: -
- Membolehkan pelajar berbicara bersama rakan tentang hal peribadi, keluarga, jiran, isu dan perkembangan semasa dan antarabangsa dengna menggunakan bahasa santun.
- Membolehkan pelajar berurus untuk mendapatkan barang dan perkhidmatan dengan memberikan maklumbalas tentang barangan dan perkhidmatan yang diperolehi sebagai pelanggan.
- Membolehkan pelajar membuat pertimbangan dan memilih alternatif terbaik untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dalam situasi perbincangan dan perundingan.
- Membolehkan pelajar membaca teks pelbagai laras dan bidang dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan untuk memperoleh dan mentafsirkan maklumat dengan berkesan.
- Membolehkan pelajar membaca bahan sastera dan ilmu untuk tujuan mendapatkan keseronokan dan menganalisis karya dari pelbagai aspek pengkaryaan.
- Membolehkan pelajar mengolah semula maklumat berasaskan perspektif dan kriteria tertentu agar memenuhi kehendak tugasan.
- Membolehkan pelajar menggunakan kemahiran memulakan penyampaian, melahirkan idea dan menutup penyampaian untuk menjadikan persembahan berkesan.
- Membolehkan pelajar menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif yang menggunakan bahasa gramatis dan laras yang tepat dengan mengaplikasikan teknik penulisan yang dipelajari.
- Membolehkan pelajar menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotik dan perasaan cinta akan negara melalui pengalaman pembelajaran di bilik darjah.
Aplikasi KOMSAS dalam bahan pelajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dapat dilihat melalui antologi teks pilihan berjudul “Harga Remaja”. Teks ini mengandungi puisi pilihan, sajak, prosa tradisional, cerpen dan drama. Komponen dalam teks ini adalah seperti berikut: -
- Puisi Tradisional
- Pantun Empat Kerat (Budi)
- Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran)
- Syair Definisi Orang Berakal
- Syair Siti Sianah
- Gurindam 12 Fasal yang Keenam
- Seloka Emak Si Randang
- Sajak
- Harga Remaja
- Di Perpustakaan
- Mengintai Ruang Insaf
- Mahsuri
- Adat Sezaman
- Tiba Waktunya
- Prosa Tradisional
- Pelayaran yang Penuh Peristiwa
- Merah Silu
- HIkayat Indera Nata
- Hikayat Khoja Maimun
- Cerpen
- Ibu dan Ceper
- Memori Seorang Tua
- Israk
- Pemain Catur
- Mellisa
- Biarkan Samudera
- Drama
- Gelanggang Tuk Wali
- Forum Remaja 2020
- Cempaka Berdarah
Sistem bahasa dan seni bahasa banyak terdapat dalam komponen-komponen genre sastera dalam analogi teks “Harga Remaja” seperti berikut: -
- Sistem bahasa terdiri daripada tatabahasa, sistem ejaan, sebutan serta intonasi, dan kosa kata serta peribahasa. Sistem bahasa ialah pelengkap yang membantu aktiviti penulisan dan pertuturan menjadi lebih tepat, jelas, dan mudah difahami. Penguasaan dalam sistem bahasa membolehkan pelajar berbahasa seperti penutur jati bahasa Melayu. Sistem bahasa meliputi aspek yang luas daripada penggunaan tatabahasa sehingga penggunaan gaya bahasa seperti berikut: -
o Tatabahasa
Tatabahasa ialah bidang ilmu yang membincangkan tentang peraturan dan ketetapan dalam penggunaan sesuatu bahasa meliputi aspek kata dan ayat. Tatabahasa terbahagi kepada dua bidang besar iaitu morfologi dan sintaksis. Morfologi adalah suatu peraturan dan cara penggunaan kata atau perkataan meliputi perkara-perkara seperti berikut: -
- Jenis-jenis kata
- Jenis-jenis kata seperti kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk, kata ganda dan akronim.
- Salah satu contoh penggunaan jenis kata adalah seperti berikut (Penggunaan kata tunggal): -
- “Mereka main masak-masak” (muka surat 159 Cerpen Mellisa, Antologi teks “Harga Remaja”
- Pembentukan kata
- Pembentukan kata melibatkan pemajmukan, gandaan, gabungan.
- Salah satu contoh penggunaan pembentukan kata adalah seperti berikut (Penggunaan Kata Gandaan): -
- “Berhenti di tiap-tiap meja” (muka surat 153 Cerpen Mellisa, Antologi teks “Harga Remaja”.
- Penggolongan kata
- Penggolongan kata meliputi kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.
- Salah satu contoh penggunaan penggolongan kata adalah seperti berikut (Kata nama dan Kata Kerja): -
- “Dia tersenyum” (muka surat 162 Cerpen Mellisa, Antologi teks “Harga Remaja”
- Sintaksis
- Sintaksis memperincikan ayat dan pembentukkannya meliputi struktur ayat (subjek, predikat, pola ayat dasar, ayat pasif dan ayat aktif), pembentukan ayat (ayat selapis dan ayat majmuk), jenis ayat (ayat penyata, ayat tanya dan ayat seru), frasa (hukum DM, pembentukan frasa dan konstituen terdekat.
- Salah satu contoh penggunaan ayat adalah seperti berikut (Ayat Majmuk yang terdiri daripada tiga ayat tunggal): -
- “Dia sukakan Farid yang kurus dan sederhana tinggi dan berkulit cerah ini.” (muka surat 156 Cerpen Mellisa, Antologi teks “Harga Remaja”
o Sebutan dan Intonasi
Sebutan dan intonasi dalam bahasa Melayu diseragamkan berdasarkan sistem sebutan baku 1985. Sebutan baku ditetapkan untuk mematuhi sebutan berasaskan bunyi huruf konvensional, bunyi konsonan, bunyi vokal dan bunyi diftong. Termasuklah setiap huruf membawa bunyi yang sama, sama ada berada di awal, tengah atau akhir kata serta sebutan perkataan pinjaman.
o Kosa Kata dan Peribahasa
Kosa kata dan peribahasa merupakan dua bidang dalam sistem bahasa yang dititikberatkan dalam pengajaran dan pembelajaran KOMSAS. Biadang ini adalah pelengkap terhadap kemahiran berbahasa. Dalam ilmu bahasa, penguasaan kosa kata dan peribahasa dikaitkan dengan ilmu sosiolinguistik iaitu satu cabang ilmu yang membincangkan tentang penggunaan bahasa dalam konteks sosial.
Peribahasa pula adalah susunan bahasa yang indah, digubah berdasarkan kehidupan seharian. Dalam teks KOMSAS, bahan pengajaran mengandungi unsur nasihat dan pedoman, gambaran kehidupan masyarakat, teguran dan sindiran secara halus (sopan). Peribahasa boleh dikategorikan kepada beberapa jenis seperti simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, perbilangan, bidalan, lidah pendita, tamsil dan ibarat. Dalam analogi teks “Harga Remaja”, wujud penggunaan pantun, sajak, syair, gurindam, seloka dan sajak. Contohnya, pantun tidak hanya wujud berasingan dalam kategori puisi tradisional tetapi penggunaan pantun juga wujud dalam prosa klasik “Pelayaran Yang Penuh Peristiwa” (muka surat 44) seperti berikut: -
“Kuala di dalam lebuh,
Air diharung hingga ke pinggang,
Mulut luka sungguh sembuh,
Parutnya bila akan hilang?"
[1] KOMSAS. http://ms.wikipedia.org/wiki/Komsas
No comments:
Post a Comment