WELCOME

NicE 2 mEet AlL oF u & w
elcome to my page... That just a little info, I wouLD like To Share wIT aLl of U mY Prenzz

Don't 4get, u all can email me.. if u want communicate or advised abt study or assignment

Monday, February 8, 2010

ENAM CABARAN DARIPADA WAWASAN 2020



1.0 PENGENALAN

Wawasan 2020 merupakan suatu rangka pembangunan yang menjadi teras untuk negara Malaysia melangkah ke hadapan bagi mencapai matlamat sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 diutarakan semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991 oleh mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam satu kertas kerja bertajuk "Malaysia-Melangkah ke Hadapan" yang mengandungi suatu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang perlu diambil dalam usaha menghadapi dan mengatasi pelbagai halangan global ke arah mencapai pembentukan sebuah negara perindustrian yang benar-benar maju menjelang tahun 2020 dengan menggunakan acuan sendiri. Kemajuan yang dimaksudkan meliputi aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan serta menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur, mewujudkan masyarakat yang demokratik, bertoleransi, bermoral, adil dan mampu bersaing dan mempunyai daya tahan yang tinggi dalam menghadapi cabaran serta arus globalisasi dari semasa ke semasa.


2.0 WAWASAN 2020

Wawasan 2020 merupakan strategik jangka panjang dalam tempoh 30 tahun yang menjadi panduan arah dasar luas meliputi pelbagai aspek pembangunan negara ke arah negara maju sepenuhnya. Inti pati ringkas Sembilan cabaran Wawasan 2020 seperti berikut: -

ü Cabaran pertama, membentuk sebuah masyarakat bersatu padu.

ü Cabaran kedua, melahirkan sebuah masyarakat yang bebas, merdeka dan cemerlang.

ü Cabaran ketiga, membentuk dan memperkembang masyarakat demokratik yang matang.

ü Cabaran keempat, membentuk sebuah masyarakat yang berakhlak mulia dan utuh.

ü Cabaran kelima, membentuk sebuah masyarakat yang liberal dan toleran.

ü Cabaran keenam, membentuk sebuah masyarakat saintifik dan maju.

ü Cabaran ketujuh, membentuk sebuah masyarakat penyayang.

ü Cabaran kelapan, membentuk sebuah masyarakat yang adil dari segi ekonomi dan sosial.

ü Cabaran kesembilan, membentuk sebuah masyarakat yang makmur dan berdaya saing.


3.0 CABARAN DALAM WAWASAN 2020

Cabaran Wawasan 2020 menggariskan sembilan (9) cabaran yang menjadi panduan arah dasar luas ke arah pembentukan sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Matlamat Wawasan 2020 hanya boleh dicapai jika rakyat Malaysia dapat menghadapi pelbagai halangan yang dianggap sebagai cabaran meliputi pelbagai aspek pembangunan negara ke arah negara maju sepenuhnya. Enam cabaran daripada sembilan cabaran akan dihuraikan dengan lebih lanjut seperti berikut: -

ü Cabaran Pertama, pembentukan masyarakat yang bersatu padu. Ianya merangkumi aspek politik iaitu membentuk sebuah negara bersatu padu yang mempunyai matlamat serupa dan dikongsi bersama termasuklah membentuk sebuah negara yang sejahtera, bersatu antara wilayah dan kumpulan etnik, menikmati kehidupan yang harmonis berdasarkan persamaan hak dan keadilan, membentuk bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan dedikasi terhadap bangsa tersebut.

ü Cabaran kedua, pembentukan masyarakat yang bebas, merdeka dan cemerlang. Cabaran ini adalah dari aspek minda dan intelek iaitu melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas, teguh dan terbentuk jiwanya, yakin pada diri, bangga dengan keadaan semasa dan segala yang telah dicapainya serta cukup tangkas untuk menghadapi segala jenis rintangan. Mempunyai sifat mengejar kecemerlangan, sedar dan tahu akan potensi, bebas jiwa dan dihormati oleh bangsa lain.

ü Cabaran ketiga, pembentukan masyarakat demokratik yang matang. Cabaran ini adalah dari aspek politik iaitu memupuk dan membangunkan sebuah masyarakat demokratis yang matang. Termasuklah mengamalkan suatu bentuk demokrasi Malaysia yang unggul berasaskan muafakat, musyawarah dan dapat dicontohi oleh negara-negara membangun yang lain.

ü Cabaran keempat, pembinaan masyarakat yang berakhlak mulia dan utuh. Cabaran ini menyentuh aspek rohani iaitu mewujudkan sebuah negara yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya. Warganegaranya berpegang teguh kepada nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang murni dan disertai dengan budi pekerti yang luhur.

ü Cabaran kelima, pembentukan masyarakat yang toleran. Cabaran ini pula adalah dari aspek minda dan intelek iaitu pembentukan masyarakat yang matang, liberal dan saling memahami. Semua rakyat tanpa mengira keturunan dan kepercayaan bebas mengamalkan adat resam, kebudayaan serta kepercayaan agama masing-masing tanpa rasa tersisih daripada bangsanya.

ü Cabaran keenam, pembentukan masyarakat yang saintifik dan maju. Cabaran kali ini memfokuskan sejauh mana kemampuan minda dalam pembentukan sebuah masyarakat Malaysia berasaskan sains dan yang progresif, serta berdaya cipta dan berpandangan jauh. Termasuklah membentuk sebuah masyarakat yang bukan sahaja memanfaatkan teknologi tetapi turut menyumbang kepada sains dan teknologi pada masa hadapan.


4.0 PERBINCANGAN

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi menerapkan Wawasan 2020 dalam perkhidmatan awam. Tiga peranan perkhidmatan awam dalam mencapai Wawasan 2020 yang telah digariskan oleh kerajaan di masa hadapan iaitu pertama, penggunaan sains dan teknologi canggih dalam peralatan dan automasi pejabat serta peningkatan penggunaan teknologi maklumat. Penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu dan kepakaran yang diperlukan agar keupayaan menggunakan teknologi yang canggih dapat dipertingkatkan. Kedua, penjawat awam dapat mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran-kemahiran tertentu, mempertingkatkan ketrampilan dan kualiti keperibadian anggotanya. Ketiga, setiap individu perlu merentasi halangan mental yang mempunyai tanggapan bahawa keupayaan dan kemampuan adalah terhad. Sebaliknya, setiap individu perlu bekerja keras, mengkaji kelemahan yang ada dan kegagalan lalu serta mengorak langkah yang membawa kepada kejayaan. Aspek keyakinan diri penting agar kita sentiasa melakukan sesuatu perkara dengan telus dan benar. Jika kita takut mengambil risiko, tidak ada kemajuan yang akan tercapai.

Beberapa cadangan untuk menangani cabaran Wawasan 2020 telah digariskan untuk panduan umum. Pertama, penjawat awam perlu faham peranan dalam menentukan pencapaian mereka sendiri iaitu selain daripada pencapaian negara. Kedua, mengenalpasti bidang-bidang yang diperluaskan dan membuat perbandingan paradigma lampau dan kini. Ketiga, penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang tinggi dan meningkatkan kecekapan yang sesuai dengan paradigma baru serta penuh yakin bahawa mereka mempuyai kebolehan supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus kemajuan. Keempat, penjawat awam harus bersedia untuk meningkatkan kendiri dan mengekalkan budaya mesra pelanggan tanpa mengira bangsa, agama dan budaya. Piagam pelanggan bukan sahaja dipamerkan tetapi perlu diterapkan dalam perkhidmatan setiap penjawat awam. Kelima, penjawat awam perlu sentiasa memikirkan hasil dan sumbangan mereka kepada masa depan dan tidak hanya memikirkan sumbangan kerajaan kepada dirinya. Mereka harus menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan telus dan sempurna di samping mengutamakan koordinasi dalam pasukan untuk mengubah mentaliti selaras dengan keperluan semasa. Ini akan menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi, jabatan dan negara amnya.

Dalam menghadapi cabaran Wawasan 2020, cabaran ekonomi adalah jelas untuk dicapai. Pembentukan sebuah negara yang bersatu padu, satu bangsa Malaysia, kesetiaan politik dan negara memerlukan penghuraian lebih terperinci. Bangsa Malaysia adalah bangsa yang bermoral, beragama dan beretika tinggi. Termasuklah mempunyai penduduk yang mempunyai psikologikal dan ideologi yang tidak terkongkong, yakin, bangga dan sedar akan potensinya ke arah mencapai kecemerlangan. Pencapaian matlamat pula memerlukan tindakan dan komitmen dari berbagai dimensi dan peringkat.

5.0 KESIMPULAN

Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah lebih dari 100 tahun berada di bawah kekuasaan dan penjajahan kuasa-kuasa asing. Kini, negara telah mengecapi kemerdekaan mencecah 52 tahun. Penjajahan dan pemerintahan kuasa-kuasa asing seperti British dan Jepun meninggalkan implikasi kepada negara secara langsung yang mempengaruhi populasi rakyat Malaysia sehingga kini. Kewujudan masyarakat majmuk di negara ini dipercayai semakin ketara di zaman pemerintahan British yang menggalakkan migrasi orang-orang Cina dan India ke negara ini untuk bekerja sebagai buruh kasar. Dasar Pecah dan Perintah yang diamalkan oleh pihak British telah memberi impak yang amat besar kepada penyatuan kaum di negara ini. Populasi etnik di Malaysia sehingga kini meliputi tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Pelbagai usaha diambil untuk meneruskan agenda nasional dan secara tidak langsung memupuk ke arah hubungan etnik yang harmoni dan bersatu padu diantaranya adalah pelaksanaan Wawasan 2020. Cabaran era globalisasi hadir tanpa mampu dielak oleh sesebuah negara. Justeru itu, sesebuah negara perlu bijak dalam membuat perancangan agar dapat mengharungi cabaran yang datang. Keupayaan sesebuah negara mengharungi cabaran-cabaran dengan baik mampu menjadikan negara berkenaan sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Seterusnya, merealisasikan impian dan Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment