Isu-Isu Kualiti Hidup Dalam Era Globalisasi dan Kemajuan ICT
Terdapat beberapa isu global melibatkan kualiti hidup dalam era globalisasi dan kemajuan ICT sama ada secara langsung atau sebaliknya, diringkaskan seperti berikut: -
Isu 1: Institusi Keluarga dan Kualiti Hidup
Perkembangan era globalisasi dan kemajuan ICT turut memberi kesan kepada institusi keluarga pada masa kini. Institusi keluarga sama ada keluarga induk, keluarga luas, keluarga dwikerjaya dan keluarga tunggal mengalami cabaran dalam usaha mensosialisasikan generasi muda. Antara isu berkaitan dengan institusi keluarga adalah berkaitan dengan komunikasi. Komunikasi tidak efektif di kalangan ahli keluarga turut memberi kesan secara tidak langsung kepada kualiti hidup individu, keluarga dan seterusnya masyarakat. Kurang komunikasi di kalangan ahli dalam keluarga cenderung membawa kepada gejala sosial di kalangan remaja.
Che Hasniza dan Fatimah (2011), telah membuat kajian tentang corak komunikasi keluarga dalam kalangan keluarga Melayu di Terengganu. Kajian ini memberi tumpuan kepada kepentingan komunikasi keluarga terhadap keberkesanan hubungan kekeluargaan. Tumpuan diberikan kepada dua bentuk orientasi komunikasi. Pertama, orientasi perbualan yang merujuk kepada keterbukaan ibu bapa dalam berkomunikasi dengan anak-anak di mana wujudnya hubungan dua hala di antara ibu bapa dan anak. Kedua, orientasi konformiti: Orientasi konformiti merujuk kepada bentuk komunikasi yang rigid, memberi penekanan kepada autoriti ibu bapa khususnya dalam membuat keputusan.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa ibu dan bapa memberikan peratusan yang lebih tinggi berbanding anak terhadap keterbukaan berkomunikasi. Dapatan ini juga selari dengan kajian Howard (1988) yang mendapati bahawa ibu dan bapa memberi persepsi bahawa mereka lebih terbuka dan kurang masalah di dalam komunikasi keluarga, jika dibandingkan dengan persepsi oleh anak-anak remaja. Komunikasi mampu menggambarkan apa yang berlaku dalam keluarga dan juga sejauhmana eratnya tahap perhubungan sesebuah keluarga. Secara keseluruhannya, kajian ini melihat kesignifikanan komunikasi keluarga khususnya komunikasi orientasi perbualan dan orientasi konformiti dalam hubungan di antara ibu bapa dan anak.
Isu 2: Gaya Hidup dan Kualiti Hidup
Era globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat ICT memberi implikasi terhadap gaya hidup masyarakat. Rakyat di negara ini mampu berdaya saing seiring dengan perubahan dunia dengan adanya pelbagai usaha untuk mengadaptasi teknologi dalam aktiviti seharian. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi dan kemajuan ICT ini, kita turut melihat perubahan negatif dalam gaya hidup masyarakat diantaranya isu tentang keruntuhan moral dan akhlak. Isu ini sering kita dengar atau baca di muka-muka akhbar tentang keruntuhan moral dan akhlak melibatkan masyarakat Melayu. Selain itu, keruntuhan moral dan akhlak turut berlaku di sekolah-sekolah.
Melalui pemerhatian bahan-bahan sekunder dan primer terdapat beberapa salah laku melibatkan murid-murid sekolah seperti budaya vandalisme, buli, black metal, peras ugut, rempit, tidak menghormati guru, berpakaian menjolok mata dan sebagainya. Era globalisasi dan kemajuan ICT turut membawa kepada keterbukaan menyuarakan pendapat dan idea dalam memberi pandangan bersifat peribadi tanpa memikirkan kesannya kepada umum. Contohnya, komunikasi interaktif seperti blogger dan facebook menjadi ruang sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan peribadi sengaja memburuk-burukkan kerajaan sama ada secara sedar atau sebaliknya.
Tindakan tidak bijak ini boleh dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan negara. Menurut Mohd. Noor Mat Yazid (2010), terdapat tiga isu penting tentang teknologi maklumat yang sering dilakukan oleh masyarakat hari ini yang boleh mendatangkan kesan buruk iaitu melayari sumber atau cerita atau gambar yang tidak bermoral, berhubung rapat dengan orang yang tidak dikenali secara terbuka, percaya dan terlibat atau melibatkan diri dengan penipuan-penipuan berbentuk kewangan secara terlindung. Isu ini nampak seolah-olah suatu perkara kecil, tetapi mempunyai kesan yang besar kepada psikolgi dan tindakan remaja.
Isu 3: Urbanisasi dan Kualiti Hidup
Era globalisasi dan perkembangan ICT turut menjadikan masyarakat Melayu lebih berdaya saing untuk terus maju sama seperti bangsa-bangsa lain. Jika masa lalu, masyarakat Melayu tinggal dan mendominasi kawasan-kawasan pertanian namun sekarang semakin ramai anak-anak jati Melayu melangkah ke arah kecemerlangan dan tinggal di kawasan bandar-bandar besar. Menurut Mohd. Noor Mat Yazid (2010), hubungan songsang berlaku di antara urbanisasi atau tahap kemodenan yang dicapai dengan nilai-nilai tradisi, agama, moral dan etika yang dipegang dan diamalkan oleh anggota dalam sesebuah masyarakat. Hubungan songsang bermaksud semakin banyak unsur-unsur moden dibawa masuk kedalam sesebuah masyarakat, maka unsur-unsur tradisi, nilai moral dan agama yang dipegang oleh sesebuah masyarakat itu semakin menjadi semakin sedikit dan lemah.
Isu 4: Pendidikan dan Kualiti Hidup
Dalam bidang pendidikan, penggunaan teknologi maklumat dalam era globalisasi boleh dibahagi kepada dua kategori. Pertama, alat membantu pengurusan iaitu dalam satu organisasi pendidikan terlalu banyak data yang perlu diuruskan. Teknologi maklumat dengan aplikasi sistem pangkalan data dan rangkaian setempat boleh digunakan dalam mengurus data dengan teratur dan berkesan. Teknologi maklumat juga digunakan bagi membantu kerja-kerja perkeranian di sekolah. Selain itu, jaringan Internet dan Laman Web juga telah digunakan untuk mengemaskini sistem pendaftaran peperiksaan pelajar dan memberi pengumuman penting. Laman Web membenarkan interaksi antara pihak pentabir dan pelajar.
Kedua, alat bantu mengajar: Penggunaan teknologi maklumat sebagai alat bantu mengajar terbahagi kepada empat iaitu teknologi maklumat menggunakan mod tutorial, mod penerokaan, mod aplikasi dan mod komunikasi. Penggunaan komputer membolehkan pengguna membentuk komunikasi yang berkesan cepat, mudah dan murah. Perkongsian maklumat, mesyuarat dan perbincangan dapat dilakukan melalui tele-sidang.
Internet juga digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan. Internet dapat digunakan tanpa mengira masa dan tempat menyebabkan capaian maklumat di Internet lebih bersifat terbuka dan luas. Internet dapat membantu para pendidik mempelbagaikan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk media yang menarik. Kemudahan Internet mampu menyediakan sumber rujukan yang bersifat lebih menyeluruh dan pelbagai. Internet dilihat sebagai gedung maklumat yang boleh dicapai melalui jarak jauh. Capaian Internet ini juga boleh membuat hubungan dengan penduduk seluruh dunia menjadi satu kenyataan dan membawa pakar-pakar pendidikan ke dalam bilik darjah.
Isu 5: Perkhidmatan, Perindustrian dan Kualiti Hidup
Dalam bidang perindustrian, teknologi maklumat dalam era globalisasi digunakan sebagai hasilan dan meningkatkan produktiviti. Terdapat dua kategori industri iaitu industri yang menjadi teknologi maklumat sebagai produk dan industri yang menggunakan aplikasi teknologi maklumat. Industri perbankan, insuran serta industri adalah contoh industri yang bukan berasaskan teknologi maklumat. Teknologi maklumat juga digunakan untuk mereka cipta bentuk produk serta mengawal mesin untuk membuat kerja-kerja yang telah diprogramkan.
Teknologi maklumat juga selalu digunakan oleh peniaga dalam bidang pengurusan, perakaunan dan simpan kira. Termasuklah memberikan perkhidmatan pelanggan yang sempurna. Penggunaan kod asas di kompleks membeli belah digunakan bagi memudahkan pemantauan tanda harga dilakukan. Penggunaan mesin teller automatic (perbankan) menyebabkan maklumat serta urusan simpanan dan pengeluaran dilakukan secara online. Penggunaan komputer juga membolehkan sistem pembayaran bil dilakukan secara online.
No comments:
Post a Comment