WELCOME

NicE 2 mEet AlL oF u & w
elcome to my page... That just a little info, I wouLD like To Share wIT aLl of U mY Prenzz

Don't 4get, u all can email me.. if u want communicate or advised abt study or assignment

Sunday, August 10, 2014

Kualiti Hidup Era Globalisasi dan Perkembangan ICT

Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat (ICT) kualiti hidup menjadi antara agenda penting untuk diperbincangkan memandangkan ianya mempengaruhi kualiti hidup masyarakat sama ada secara langsung atau sebaliknya. Kemajuan ICT melibatkan penggunaan teknologi komunikasi dan komputer untuk memproses segala bentuk maklumat, termasuklah penggunaan e-mail dan penyimpanan pengkalan data melibatkan rangkaian komputer. Sistem televisyen pula membekalkan perkhidmatan maklumat dalam bentuk teletext kepada penonton. Termasuklah pembaharuan urusniaga dan perbankan melalui pengeluaran berasaskan komputer. 

Era globalisasi sering kali dikaitkan dengan modenisasi yang dialami oleh masyarakat dunia. Era globalisasi dan kemajuan ICT sentiasa merubah kehidupan masyarakat seluruh dunia dan mempengaruhi teknologi-teknologi lain. Globalisasi berteraskan ICT telah membawa banyak perubahan secara langsung kepada kehidupan masyarakat dan individu. Kewujudan ribuan kafe internat dan internat komuniti merupakan antara bukti nyata tentang globalisasi berteraskan ICT. Perkembangan teknologi satelit dengan ICT turut menyebabkan ledakan penggunaan telefon bimbit dalam kehidupan masyarakat pada masa kini. Terdapat pelbagai isu sering dikaitkan dengan era globalisasi dan pembangunan ICT dengan kualiti hidup masyarakat sama ada melibatkan isu-isu global mahupun isu-isu semasa.

Kualiti Hidup

Era globalisasi dan perkembangan ICT berkait rapat dengan kesan pembangunan akibat daripada pertumbuhan ekonomi. Isu transformasi yang berlaku pada asasnya memberi kesan perubahan pelbagai sudut mencakupi pertumbuhan ekonomi, perkembangan perindustrian, prasarana dan perumahan. Perubahan tersebut sekaligus menyaksikan sebuah pekan kecil menjadi padat dengan kepelbagaian aktiviti ekonomi dan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakatnya. Selain itu, kesan pembangunan terhadap alam sekitar turut menjadi isu dalam era globalisasi. Persekitaran yang merosot menjejaskan kualiti kehidupan dan kesejahteraan masyarakat. 

Azahan et al. (2008), telah menjalankan kajian tentang penilaian makna kualiti hidup dan aplikasinya dalam bidang pengurusan persekitaran di Malaysia. Skop kajian ini memberi tumpuan kepada transformasi yang dialami di pekan Parit Raja dari segi perkembangan fizikal, sosial dan ekonomi. Kajian ini diharap berupaya membentuk penunjuk dan indeks kualiti hidup di pekan Parit Raja mengambil kira kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat setempat. Status kualiti hidup bukan hanya berdasarkan kepada struktur yang ada di Pekan Parit Raja semata-mata tetapi merangkumi penerimaan masyarakat itu sendiri terhadap perkembangan persekitarannya. Pembentukannya adalah berdasarkan kepada sepuluh penunjuk kualiti hidup di dalam komponen IKHM. 

IKHM merupakan suatu pengukuran komposit berdasarkan kepada sepuluh bidang iaitu pendapatan dan pengagihan, persekitaran kerja, pengangkutan dan komunikasi, kesihatan, pendidikan, perumahan, alam sekitar, kehidupan keluarga, penyertaan sosial, serta keselamatan awam. Bidang ini dianggap sama penting untuk kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk. Sebanyak 38 penunjuk telah digunakan dalam pengiraan indeks tersebut yang mana jelas membuktikan penunjuk berkenaan dipilih untuk menyediakan satu ukuran agregat mengenai kualiti hidup negara ini bagi menilai kesan pembangunan ekonomi ke atas penduduk. Menurut Haryati (2010), pengukuran IKHM telah mengambilkira berbagai dimensi pembangunan, yang mana setiap kelemahan yang sering dilakukan hanya merujuk kepada satu atau beberapa penunjuk pembangunan seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Dalam sistem perkiraan IKHM, semua penunjuk diberi tanda positif atau negatif. Penunjuk dipilih untuk setiap komponen berasaskan sejauh mana ianya dapat menggambarkan sesuatu komponen berkenaan dan sejauh mana terdapatnya data siri masa. Menurut Haryati dan Nurasyikin (2011), Laporan Kualiti Hidup 1999, IKHM telah dibentuk dengan mengambil data yang meliputi tempoh 1980 hinga 1998 dengan menjadikan tahun 1990 sebagai tahun asas. Pada keseluruhannya kualiti hidup rakyat Malaysia bertambah baik dengan peningkatan IKHM yang memberansangkan daripada 86.2 mata pada tahun 1980 kepada 105.7 mata pada tahun 1998. 

Dalam konteks peningkatan ini, faktor yang menjadi penyumbang utama adalah pertumbuhan ekonomi yang pesat telah menjana peningkatan kepada dimensi pembangunan lain meliputi pendapatan dan pengagihan, pendidikan, kehidupan keluarga, kesihatan, pengangkutan dan komunikasi, penyertaan sosial, perumahan dan persekitaran kerja. Menurutnya lagi, kualiti hidup sosial penduduk merupakan indikator terpenting dalam kemajuan dan peradaban negara bertamadun. Situasi ini telah digambarkan oleh Kualiti Hidup Malaysia (1999) yang mendefinisikan kualiti hidup sebagai kemajuan diri, gaya hidup yang sihat, akses dan kebebasan memperolehi pengetahuan serta taraf kehidupan yang melebihi keperluan asas individu dan memenuhi keperluan psikologi untuk mencapai tahap kesejahteraan sosial yang setanding dengan aspirasi negara.

No comments:

Post a Comment