Pengenalan
Bimbingan dan Kaunseling di sekolah telah diperkenalkan secara rasminya pada tahun 60-an melalui program bimbingan kerjaya. Pada peringkat awal, ianya menjurus kepada kerjaya sahaja. Sekitar tahun 70-an, Maktab Rendah Sains MARA menjadi kumpulan sekolah pertama memperkenalkan program ini. Tujuannya, membimbing dan meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan pelajar ke arah kematangan sahsiah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Seiring dengan perkembangan Sains dan Teknologi, institusi kekeluargaan di negara ini turut berubah. Umpamanya, lebih ramai institusi keluarga pada hari ini memilih kehidupan dwi kerjaya, ibu tunggal, bapa tunggal dan sebagainya sehingga ramai remaja terbiar serta terpengaruh dengan unsur-unsur negatif. Masalah ini sepatutnya dibawah tanggung jawab ibu bapa dan penjaga namun kini, ianya turut dipertanggungjawabkan kepada sekolah.
Di sekolah, guru tidak dapat memperuntukan masa untuk kaunseling kerana tugas utama mereka adalah mengajar. Justeru itu, untuk mengatasi masalah ini telah diwujudkan kaunselor yang ditugaskan di sekolah-sekolah dan terus berkembang sehingga kini. Bimbingan dan Kaunseling di sekolah telah menggunakan pelbagai pendekatan mengikut teori dan prinsip serta kemahiran berkaitan dengan kemahiran bimbingan dan kaunseling bagi membantu guru memainkan peranan sebagai kaunselor untuk membantu pelajar. Elemen utama untuk mengaplikasikan bimbingan dan kaunseling bagi membantu para pelajar adalah dengan cara menemubual pelajar bermasalah atau disebut sebagai ‘klien’ untuk mendapatkan butiran berkaitan dengan klien seperti latar belakang klien, gaya penampilan klien, sikap dan perangai klien, tingkah laku dan perasaan, pengalaman, sejarah perubatan, serta latar belakang pendidikan. Termasuklah mendapatkan gambaran sebenar senario masalah klien seterusnya mengaplikasikan teori bimbingan dan kuanseling untuk membantu masalah yang dihadapi oleh klien. Kebanyakan kaunselor mengamalkan beberapa langkah dalam mengendalikan sesi kaunseling antaranya penstrukturan, membina hubungan, menyatakan masalah melalui penerokaan, meneroka masalah, alternatif, pemilihan alternatif, penilaian dan penamatan.
Masalah Remaja
Menurut Mohd Dahlan dan Ida Shafinaz (2010), antara perlakuan jenayah serta masalah sosial yang melibatkan remaja adalah seperti pornografi, penipuan, pelacuran, penyeludupan, peras ugut, pelaburan haram, aktiviti seks bebas, rogol, mencabul kehormatan, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Kertas kerja ini meninjau penglibatan remaja dalam jenayah serta masalah sosial yang berkaitan dengan dunia siber ini samada sebagai pelaku mahupun mangsa. Tiada jalan singkat bagi menangani masalah jenayah dan masalah sosial di kalangan remaja, melainkan memerlukan pembabitan semua seperti keluarga, ahli masyarakat, pihak sekolah, pihak berkuasa, dan badan-badan kerajaan serta badan bukan kerajaan.
Kes-kes jenayah di kalangan remaja hari bermula dari rumah. Ia bermula apabila ibu dan bapa tidak mampu lagi mengawal tingkah laku anak-anak mereka. Kadang-kadang ibu bapa seolah-olah 'menghalalkan' perbuatan anaknya apabila tidak melakukan sebarang tindakan apabila melihat anaknya melakukan maksiat di hadapan mata. Tidak dinafikan ada di kalangan ibu bapa yang berada dalam dilema kerana bimbang anak-anak mereka lari dari rumah sekiranya sikap mereka itu ditegur. Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010 menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat dengan angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan seawal usia 13 hingga 17 tahun. Apabila berada di sekolah, lagak gaya remaja semacam kumpulan kongsi gelap atau samseng sehingga menyebabkan sesetengah guru berfikir dua kali untuk menegur mereka (Utusan Melayu, 2012:26 Disember).
Pendekatan psikologi dan pelaksanaan undang-undang juga boleh membantu dalam menangani permasalah ini di samping program serta aktiviti yang telah dilaksanakan seperti mengadakan program Bina Insan, Remaja Sihat Tanpa Aids (Prostar) dan juga penubuhan kelab Pencegahan Jenayah di sekolah seluruh negara. Kes-kes jenayah yang semakin meningkat seperti; buang bayi, penyalahgunaan dadah, zina, rempit dan lumba haram, ponteng sekolah dan sebagainya memerlukan tindakan secara kolektif dan bersepadu. Melalui perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah diharap dapat membantu para pelajar mempunyai kemandirian dalam mengatasi masalah pelajar.
No comments:
Post a Comment