WELCOME

NicE 2 mEet AlL oF u & w
elcome to my page... That just a little info, I wouLD like To Share wIT aLl of U mY Prenzz

Don't 4get, u all can email me.. if u want communicate or advised abt study or assignment

Thursday, February 18, 2016

Psikolinguistik dan Faktor Merangsang Pemerolehan Bahasa Pertama

KES

1. Victor, budak liar dari Aveyron 
2. Helen, budak perempuan yang pekak dan bisu

PENGENALAN

Pemerolehan bahasa pertama adalah salah satu bidang kajian dalam Psikolinguistik. Dari segi istilah, psikolinguistik terdiri daripada dua disiplin ilmu iaitu psikologi dan linguistik yang mengkaji tentang bahasa dengan cara dan tujuan berbeza. Psikologi merupakan bidang ilmu yang mengkaji tentang dua perkara iaitu sesuatu yang berkaitan dengan tingkah laku manusia. Linguistik merupakan suatu ilmu mengkaji tentang aspek-aspek bahasa secara empirikal iaitu kajian yang dilakukan secara sistematik. Aspek utama kajian psikolinguistik ialah pemerolehan bahasa. Psikolinguistik mengkaji aspek-aspek yang berkaitan dengan bahasa, tingkahlaku bahasa dan akal budi manusia. Psikolinguistik merupakan kajian tentang mekanisme-mekanisme mental yang membolehkan manusia menggunakan bahasa. Salah satu aspek kajian dalam psikolinguistik ialah aspek pemerolehan bahasa pertama. Terdapat pelbagai faktor yang merangsang pemerolehan bahasa diantaranya persekitaran, sosial, psikologi, pendedahan bahasa, dan motivasi. Elemen-elemen tentang bidang kajian psikolinguistik, definisi konsep dan faktor-faktor yang merangsang pemerolehan bahasa pertama turut dibincangkan dalam tugasaan ini. 

DEFINISI KONSEP

Psikologi

Psikologi merupakan disiplin ilmu yang mengkaji tentang otak, perasaan, pemikiran, pengamatan dan penaakulan.

Linguistik

Linguistik pula adalah disiplin ilmu yang mengkaji tentang bahasa secara sistematik.

Psikolinguistik

Psikolinguistik gabungan dua disiplin ilmu yang sama tetapi mempunyai cara dan tujuan berlainan di antara satu sama lain. Psikolinguistik lmengkaji bagaimana otak manusia dapat memproses bahasa dan mampu menerbitkan perkataan serta ayat-ayat yang tidak terhad. Perbezaan di antara dua disiplin ilmu ini dapat dilihat dalam kajian pemerolehan bahasa pertama. 

Beberapa definisi psikolinguistik adalah seperti berikut: -
  • Menurut Zulkifley Hamid (2006), psikollinguistik adalah banyak menumpukan kajian terhadap mekanisme-mekanisme mental khusus berkaitan dengan peranan dan operasi mental semasa manusia berbahasa.
  • Menurut Aitchison (1987), psikolinguistik didefinisikan sebagai kajian tentang bahasa dan akal budi. Bidang psikolinguistik menyelidiki apa yang berlaku dalam akal budi manusia apabila seseorang memperoleh, memahami, menghasilkan dan menyimpan unsur-unsur kebahasaan. Aitchison membahagikan bidang psikologi kepada beberapa topik utama iaitu aspek-aspek yang berkaitan dengan bahasa pertama, aspek-aspek tentang proses pemahaman input-input bahasa dan aspek-aspek berkaitan dengan ingatan dan penyimpanan maklumat bahasa atau pengetahuan bahasa.
  • Menurut Garnham (1985), psikolinguistik merupakan kajian tentang mekanisme mental yang membolehkan manusia menggunakan bahasa. Disiplin ini adalah disiplin saintifik yang matlamatnya adalah suatu teori yang sepadu tentang cara bahasa dikendalikan dan difahami.

TUJUAN KAJIAN PSIKOLINGUISTIK

Tujuan kajian psikolingustik dilihat dalam kajian bahasa mengikut dua disiplin iaitu psikologi dan linguistik.

Tujuan Kajian Bahasa Sudut Psikologi
  • Mengkaji proses-proses akal dengan cara kaji diri atau introspeksi iaitu dengan cara melihat ke dalam diri selepas satu rangsangan berlaku.
  • Mengkaji perilaku manusia yang terdiri daripada gerakan-gerakan otot yang berlaku apabila sesuatu rangsangan terjadi, bagaimana mengawasi dan mengawal perilaku serta mengkaji peristiwa-peristiwa yang diamati, yang sebenarnya nyata atau kelakuan.
  • Mengkaji proses-proses kognitif. Proses-proses kognitif ialah proses-proses akal yang bertanggungjawab mengatur pengalaman dan perilaku manusia. Kajian tertumpu kepada bagaimana caranya manusia memperoleh, mentafsirkan, mengatur, menyimpan, mengeluarkan dan menggunakan pengetahuannya serta perkembangan dan penggunaan pengetahuan bahasa.

Tujuan Kajian Bahasa Sudut Linguistik
  • Mengkaji tentang hubungan bahasa dengan pemikiran manusia. Kajian perbandingan antara tata bahasa bahasa yang berlainan dan tabiat bangsa-bangsa penutur bahasa berkenaan.
  • Menerangkan tentang apa itu bahasa, melibatkan tiga unsur perlaku berbahasa iaitu bertutur, bahasa dan ucapan.
  • Menerangkan tentang perilaku bertutur sebagai satu rantai perhubungan antara dua dan lebih penutur serta pendengar.
  • Mengkaji perubahan-perubahan yang berlaku dalam sesebuah bahasa atau keluarga bahasa.
  • Menerangkan tentang bahasa-bahasa dan teori-teori individu dari segi aspek-aspek bahasa yang sejagat.
  • Menerangkan tentang ciri-ciri bahasa dan tempatnya bahasa di dunia dari aspek fungsi sosial, bagaimana ia diperoleh, bagaimana ia dihasilkan dan dikesan. 

Tujuan Kajian Psikolinguistik

Berdasarkan kepada tujuan kajian bahasa dari sudut psikologi dan linguistik, didapati bahawasa tujuan kajian psikolinguistik adalah mengkaji faktor-faktor psikologi dan neurobiologi yang membolehkan manusia memperolehi, menggunakan, dan memahami bahasa. Meliputi proses-proses kognitif yang membolehkan penjanaan ayat-ayat tata bahasa dan bermakna dari segi perbendaharaan kata dan struktur tata bahasa, serta proses-proses membolehkan pemahaman pernyataan, perkataan, teks dan sebagainya.

FAKTOR-FAKTOR YANG MERANGSANG PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA

Faktor Persekitaran

Faktor persekitaran merangsang kepada pemerolehan bahasa pertama. Pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak lebih tertumpu kepada fungsi komunikasi berbanding bentuk bahasa yang digunakan. Kanak-kanak dikatakan memperoleh sesuatu bahasa tanpa disedari atau dipelajari secara formal yang mungkin diperoleh daripada bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakatnya. Dikatakan bahawa kanak-kanak dari lahir lagi telah dibekalkan dengan peranti bahasa atau LAD (Language Acquisition Device). LAD membolehkan kanak-kanak memperoleh dan menguasai bahasa dengan mudah.

Faktor Psikologi

Dari aspek psikologi, pemerolehan bahasa pertama terjadi apabila kanak-kanak yang pada mulanya tidak mempunyai bahasa tetapi kini telah memperoleh satu bahasa. Antara keunikan yang ada pada manusia dapat diperhatikan pada kebolehan kanak-kanak ketika memperoleh bahasa pertama. Bahasa pertama yang dimaksudkan adalah kebolehan kanak-kanak untuk memperoleh ujaran demi ujaran sehingga lahirnya sintaksis yang bermakna sama ada bagi diri sendiri atau orang lain.

Faktor Sosial

Dari aspek sosial, pemerolehan bahasa pertama berkait rapat dengan perkembangan sosial anak iaitu pembentukan identiti sosial. Pembentukan identiti sosial bertujuan agar anak dapat menguasai bahasa pertama. Wujud juga faktor pendedahan bahasa melibatkan sistem perkembangan kognitif dan sistem sosial. Ada beberapa unsur penting yang berkaitan dengan perkembangan kognitif anak dan sistem sosial iaitu pemahaman tentang waktu, ruang, modalitas serta sebab akibat yang merupakan bahagian penting dalam perkembangan kognitif dan pendedahan bahasa untuk penguasaan bahasa ibu oleh seorang anak.

Faktor Motivasi

Faktor motivasi mempengaruhi pemerolehan bahasa pertama pada anak kerana pemerolehan bahasa dilakukan secara informal dengan motivasi yang sangat tinggi iaitu anak memerlukan bahasa pertama ini untuk dapat berkomunikasi dengan orang-orang yang ada di sekelilingnya. Manusia memiliki warisan biologi sejak lahir berupa kesanggupan untuk berkomunikasi dengan bahasa khusus manusia dan itu tidak ada hubungannya dengan kecerdasan atau pemikiran.

TEORI PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA

Semua anak dapat dikatakan mengikuti pola perkembangan bahasa yang sama iaitu lebih dahulu menguasai prinsip-prinsip pembahagian dan pola persepsi. Pemerolehan bahasa pertama berkait rapat dengan permulaan yang gradual yang muncul dari prestasi-prestasi motorik, sosial, dan kognitif pralinguistik.

Kemampuan berbahasa anak yang normal adalah sama dengan anak-anak yang tidak normal. Kemampuan berbahasa berkait rapat dengan anatomi dan fisiologi manusia seperti otak. Bahagian otak tertentu mendasari bahasa dan topografi korteks yang khusus untuk bahasa. Tingkat perkembangan bahasa anak sama bagi semua anak normal. Pertumbuhan dan perkembangan manusia memerlukan waktu yang lama dan panjang terdiri atas fasa-fasa yang memiliki ciri-ciri tersendiri.

Di antara fasa-fasa itu adalah fasa pertumbuhan awal. Tingkat pertumbuhan anak-anak merupakan fasa yang perlu mendapat perhatian karana ia merupakan antara perkara penting dalam bagi pertumbuhan dan perkembangan manusia selanjutnya. Corak dan kualiti sosialisasi dalam aspek fizikal, mental dan emosi amat penting diberi perhatian kerana ia mampu mempengaruhi corak pertumbuhan dan perkembangan seseorang. Salah satu aspek penting yang perlu dititikberatkan adalah pemerolehan bahasa.

Teori Behaviorisme

Teori Behaviorisme berkaitan dengan bahasa pertama. Tokoh-tokoh Teori Behaviorisme ialah Bloomfield, Sapir, Boas, Fries dan Brooks. Mengikut Teori ini, bahasa dikuasai melalui proses pengulangan sehingga menjadi semakin kebiasaan. Teori Behaviorisme berasaskan kepada cara pemerolehan bahasa pertama oleh seseorang kanak-kanak. Pengajaran bahasa haruslah menekankan latihan dan pengulangan banyak. Ini kerana penguasaan bahasa adalah satu proses tingkahlaku yang tidak memerlukan daya mental.

Kemahiran bahasa diperolehi melalui pembentukkan suatu yang menjadi kebiasaan dan penguasaan kemahiran psikomotor seperti berlari, melompat dan sebagainya. Bahasa merupakan suatu tingkahlaku yang sama dengan tingkahlaku lain yang boleh dikuasai melalui latihan dan pengulangan. Tingkahlaku bahasa wujud ketika ucapan terzahir daripada mulut dan ucapan itu diterima serta difahami oleh pendengar dan sebaliknya. Selain itu, teori ini menekankan tentang aspek lisan. Menurut Bloomfield, bahasa adalah sejumlah isyarat sejumlah isyarat yang berupa unsur-unsur bunyi (linguistik).

Mengikut teori ini juga, pembelajaran adalah pengukuhan yang dapat ditimbulkan melalui ganjaran yang perlu diberi sekiranya seseorang pelajar memberi gerak balas yang betul. Teori ini menekankan aspek huraian bahasa secara deskriptif atau struktural. Menurut Fries, pertuturan adalah bahasa, tulisan juga bahasa tetapi sebagai kedua.

Teori Kognitif / Mentalis

Teori Kognitif berkaitan dengan bahasa pertama. Tokoh-tokoh teori ini ialah Noam Chomsky, Miller, Katz dan Lakoff. Menurut teori kognitif, manusia sejak lahir sudah mempunyai kebolehan untuk menguasai bahasa. Kanak-kanak mempunyai keupayaan semulajadi untuk merumus dan membentuk ayat-ayat mengikut sistem bahasa yang diperolehi dengan syarat kanak-kanak terdedah kepada penggunaan bahasa tersebut. Selain itu, wujud jangkamasa tertentu yang merupakan masa subur untuk bahasa berkembang dan sebaliknya.

Teori kognitif mengambil sudut pandangan Jean Piaget yang mengatakan bahawa otak manusia mempunyai kebolehan untuk mempelajari banyak perkara. Proses pembelajaran adalah proses mental. Menurut N. Chomsky, kanak-kanak dilahirkan dengan kecekapan semulajadi untuk menguasai bahasa sehingga tahap peringkat kematangan tertentu. Setiap tahap kematangan kanak-kanak akan terbentuk hipotesis-hipotesis terhadap peraturan-peraturan ahli masyarakatnya. Pembetulan kesalahan oleh ahli dalam masyarakat, memperkukuhkan rumus-rumus bahasa yang tersimpan dalam otak.

Menurut Lenneberg pula, kanak-kanak yang sihat dan normal mulai bercakap dan bertutup pada peringkat umur yang sama. Dalam konteks ini, perkembangan dan kebolehan berbahasa adalah terjadual secara biologi. Apabila sampai masanya kanak-kanak tertarik kepada bunyi-bunyian yang didengarnya dan dia dapat menajamkan pancainderanya. Oleh itu, kanak-kanak berupaya memahami dan memilih bunyi-bunyi yang penting dan mengetepikan yang lain.

KESIMPULAN

Psikolinguistik adalah kajian tentang bahasa dan akal budi. Bidang psikolinguistik membuat penyelidikan tentang apa yang berlaku dalam fikiran atau akal budi manusia iaitu apa yang berlaku apabila seseorang memperoleh, memahami, menghasilkan dan menyimpan unsur-unsur kebahasaan. Psikolinguistik merupakan disiplin ilmu yang mengkaji apa yang dikaji oleh psikologi dan linguistik. Psikolinguistik juga memberi tumpuan terhadap mekanisme-mekanisme mental khususnya peranan dan operasi mental ketika manusia berbahasa. Psikolinguistik melibatkan kajian ke atas pemerolehan bahasa pertama. Pemerolehan bahasa pertama dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti faktor persekitaran, sosial, psikologi, pendedahan bahasa dan motivasi.

Faktor-faktor pemerolehan bahasa ini menjadi kata kunci kepada pemerolehan bahasa oleh Victor dan Hellen. Victor dikenali sebagai Wild Boy of Aveyron” ternyata gagal untuk berbicara seperti manusia biasa. Kemudian, budak laki-laki ini dididik oleh ahli-ahli lain iaitu Jean-Marc-Gaspard Itard, didikan ini telah mengubah pola laku kehidupan victor tetapi tetap sahaja tidak dapat berbahasa. Dalam kes ini, individu dikatakan memperoleh sesuatu bahasa tanpa disedari atau dipelajari secara formal yang mungkin diperoleh daripada bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakatnya.

Begitu juga dalam kes Hellen. Hellen Keller walaupun buta, pekak dan bisu dari usia 2 tahun telah berjaya menjadi seorang sarjana graduan Radcliffe College. Dia juga telah banyak menulis buku-buku mengenai kehidupan, bagaimana membantu orang-orang buta, pandangan politik dan sebagainya. Dalam jangka usianya, dia telah memanfaatkannya dengan menjalankan tanggung jawab sosial. Termasuklah mengelilingi dunia, memberikan ceramah kepada umum mengenai pengalaman, pandangan serta kepercayaannya. Ceramah-ceramahnya diterjemahkan terus ayat demi ayat oleh gurunya, Anne Sullivian dari bahasa isyarat yang digunakan oleh Hellen Keller, kepada bahasa pertuturan biasa yang difahami umum.

Pemerolehan bahasa Helen disebabkan oleh faktor persekitaran, sosial, psikologi, pendedahan bahasa dan motivasi. Pemerolehan bahasa Hellen adalah suatu situasi yang mana kanak-kanak memperolehi bahasa yang digunakan oleh masyarakat persekitaran secara menyerap tanpa dipelajari atau dipaksa. Umumnya, manusia dikatakan mempunyai atau dibekalkan dengan ‘alat pemprosesan bahasa’ (language acquisation devices atau LAD) semenjak lahir yang membolehkannya memperoleh dan menguasai bahasa dengan mudah dan cepat.

No comments:

Post a Comment