WELCOME

NicE 2 mEet AlL oF u & w
elcome to my page... That just a little info, I wouLD like To Share wIT aLl of U mY Prenzz

Don't 4get, u all can email me.. if u want communicate or advised abt study or assignment

Thursday, February 4, 2010

Hubungan Etnik di Malaysia

1.0 PENGENALAN

Malaysia unik dengan kepelbagaian masyarakatnya yang berbilang bangsa, etnik dan agama. Keunikkan masyarakat di negara ini menjadikan Malaysia istimewa di mata dunia. Penduduk dominan Malaysia sebelum wujudnya penjajahan dari negara-negara luar adalah Melayu. Suatu ketika dulu, Malaysia juga dikenali dengan nama Tanah Melayu. Pembentukkan Malaysia pada 16 September 1969, Tanah Melayu digantikan dengan nama Malaysia. Mengikut rentetan sejarah, Malaysia telah dijajah sejak 20 Mac 1824 sehingga 31 ogos 1957. Tempoh 129 tahun telah banyak memberi implikasi kepada pembangunan negara sehingga kini termasuklah perhubungan etnik di negara ini. Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sejak merdeka dan sehingga 31 Ogos 2009, Malaysia telah mengecapi kemerdekaan selama 52 tahun. Suatu tempoh panjang yang membolehkan rakyat Malaysia membentuk kerajaan mengikut acuan sendiri.

Terdapat tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu (termasuk masyarakat pribumi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak), Cina dan India. Kepelbagaian kaum di Malaysia terhasil daripada proses migrasi, perdagangan, hubungan diplomatik, dan perkahwinan. Mengikut komposisi penduduk di Malaysia pada tahun 2005, masyarakat Melayu terdiri daripada 16.06 juta mewakili 65.9 peratus penduduk diikuti oleh masyarakat Cina terdiri daripada 6.15 juta mewakili 25.3 peratus dan masyarakat India terdiri daripada 1.83 juta mewakili 7.5 peratus. Termasuklah masyarakat minoriti di Malaysia terdiri daripada 0.32 juta mewakili 1.3 peratus. Kegemilangan Malaysia dapat dilihat melalui pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, sosial, agama dan budaya. Pencapaian Malaysia dalam aspek-aspek ini berlandaskan kepada keharmonian dan perpaduan etnik secara amnya. di kalangan seluruh rakyat Malaysia. Dalam era globalisasi pelbagai cabaran dihadapi dalam memupuk perpaduan kaum. Pelbagai pendekatan telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memupuk perpaduan berterusan.

2.0 KEPELBAGAIAN ETNIK DI MALAYSIA

Masyarakat merupakan kelompok manusia yang mempunyai budaya dikongsi bersama dan berbeza dengan budaya lain serta mempunyai kawasan geografi tersendiri, bersepadu sebagai satu kelompok dan melihat diri mereka berbeza berbanding orang lain. Umumnya, masyarakat saling berinteraksi dan berkongsi wilayah sama serta terlibat atau mengamalkan budaya yang sama. Terdapat tiga kumpulan etnik utama di Malaysia iaitu Melayu (pribumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak), Cina dan India.

2.1 Masyarakat Melayu (Pribumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak)

Konsep pribumi secara umum merujuk kepada kumpulan etnik yang naif kepada wilayah dituntut dan dipertahankan sepenuhnya oleh sesebuah negara. Konsep pribumi secara khusus pula merujuk kepada penduduk asal Malaysia yang terdiri daripada orang melayu dan orang asli di Semenanjung Malaysia serta kumpulan etnik pribumi di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 2000, penduduk Pribumi meliputi 65 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia dan dianggarkan sebanyak 14.35 juta mengikut komposisi penduduk Malaysia. Pada tahun 2005, jumlah penduduk Pribumi telah bertambah kepada 65.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia dan dianggarkan sebanyak 16.06 juta.

2.1.1 Masyarakat Pribumi Semenanjung Malaysia

Masyarakat Pribumi di Semenanjung Malaysia meliputi orang Melayu dan orang asli. Orang asli terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli atau Melayu-Proto. Kumpulan Negrito terdiri daripada suku bangsa Kinsui, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendrig dan Bateq. Kumpulan Senoi terdiri daripada suku bangsa Temiar, Semai, Semoq Beri, Che’ Wong, Jah Hut dan Mahmeri. Kumpulan Melayu Asli dan Melayu-Proto terdiri daripada suku bangsa Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar dan Orang Laut.

2.1.2 Masyarakat Pribumi di Sabah

Masyarakat di Sabah terdiri daripada empat kelompok utama seperti Kadazan Dusun mewakili 24.8 peratus daripada jumlah populasi masyarakat Sabah diikuti kategori pribumi lain sebanyak 20.6 peratus, Bajau 18.5 peratus dan Melayu 18.5 peratus. Masyarakat Pribumi di Sabah dikatakan berasal daripada Tanah Besar Asia yang bertutur dalam kelompok bahasa Austronesia. Masyarakat Pribumi di Sabah adalah Kadazan / Dusun, Murut, Lun Dayeh, Bisaya, Bajau, Kedayan, Orang Sungei, Melayu Brunei, Iranun dan Suluk.

2.1.3 Masyarakat Pribumi di Sarawak

Di Sarawak etnik Dayak, Melayu dan Melanau berjumlah 73.2 peratus daripada 2.181 juta orang penduduk Sarawak. Etnik Dayak mewakili 44.3 peratus daripada jumlah penduduk diikut oleh etnik Melayu sebanyak 23.2 peratus dan Melanau sebanyak 5.7 peratus. Masyarakat Pribumi di Sarawak adalah Bidayuh, Iban, Melayu, Kayan, Kenyah, Kelabit, Murut dan Lun Bawang, Punan, Penan, Melanau, Kedayan dan Bisayah.

2.2 Masyarakat Cina

Menurut sejarah, Masyarakat Cina mula bertapak di Malaysia pada zaman Keagungan kerajaan kerajaan Melayu Melaka. Petempatan awal orang Cina adalah di Melaka. Pada tahun 1403, Laksamana Yin Ching mengetuai rombongan di Melaka membawa permintaan Parameswara kepada Maharaja China memohon untuk bernaung di bawah perlindungan negara China. Pada tahun 1405, utusan dari China diketuai Laksamana Cheng Ho membawa perutusan pengiktirafan Parameswara sebagai pemerintah kerajaan Melaka oleh maharaja China. Melaka terus berkembang sebagai pusat perdagangan yang masyhur.

Kegemilangan Melaka menyebabkan maharaja China menghantar puterinya iaitu Puteri Hang Li Po untuk dikahwinkan dengan sultan Melaka iaitu Sultan Mansur Syah. Puteri Hang Li Po bersama pengikutnya kira-kira 500 orang telah disambut baik oleh sultan Melaka dan kesemuanya memeluk agama Islam. Dipercayai Puteri Hang Li Po dan pengikutnya menetap di suatu tempat dalam daerah Melaka yang dihadiahkan oleh sultan. Kawasan petempatan dinamakan Bukit Cina. Perkahwinan sekufu dan silang budaya masyarakat Cina telah meningkatkan hubungan diplomatik di antara negara China dengan Melaka serta mewujudkan masyarakat Cina terawal di Melaka khasnya dan di negara ini amnya.

Mengikut catatan sejarah, masyarakat Cina di Malaysia berasal dari China Selatan iaitu dari wilayah Fukien, Kwangtung dan Kwangsi. Kelompok utama etnik Cina adalah Hokien, Kantonis, Hakka, Teochew dan Hailam. Kemasukan etnik Cina di Malaysia dipercayai melalui sistem Kontrak yang diperkenalkan sejak tahun 1848 hingga 1914. Selepas tahun 1914, majoriti kemasukan orang-orang Cina adalah secara persendirian. Etnik Cina aktif sebagai pekerja lombong (di kawasan Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Ampang, Seremban dan lain-lain) dan membuka kedai runcit.

2.3 Masyarakat India

Mengikut catatan sejarah, masyarakat India di Malaysia berasal dari India Selatan (Tamil Nadu). Kelompok utama etnik India adalah Tamil, Malayani, Telugu dan Sikh. Kemasukan etnik India di Malaysia dipercayai melalui sistem Kontrak yang diperkenalkan sejak tahun 1880an hingga 1910. Pada tahun 1891, terdapat 75,000 orang India di Tanah Melayu dan jumlah ini telah meningkat kepada 471,536 orang pada tahun 1921. Etnik India aktif sebagai buruh ladang getah dan pekerja kemudahan asas (buruh pembinaan) seperti membina jalanraya dan keretapi.

3.0 KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

Terdapat tiga konsep asas hubungan etnik di Malaysia iaitu masyarakat, budaya dan perpaduan.

3.1 Konsep Masyarakat

Menurut Kamus Dewan (2006), masyarakat adalah sekumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara hidup tertentu. Menurut Musa Abu Hassan (2000), masyarakat adalah sekelompok manusia yang mempunyai cara gaya hidup, norma, nilai, budaya, bahasa, sistem komunikasi dan struktur tertentu. Setiap ahli dalam masyarakat mempunyai peranan serta fungsi tertentu untuk meneruskan kewujudan kelompok tersebut dan ciri-ciri ini berbeza dari kelompok ke kelompok lain. Umumnya, ciri-ciri masyarakat adalah seperti berikut: -

· Hidup berkelompok.
· Mempunyai budaya.
· Mengalami perubahan.
· Saling berinteraksi dalam dan luar kelompok.
· Ada kepimpinan.
· Mempunyai aturan sosial seperti susun lapis, kelas, status dan kasta.

Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2007), konsep masyarakat perlu difahami atas beberapa sebab seperti berikut[1]: -
· Memahami hakikat bahawa manusia, demi kelangsungan hidup, tiada pilihan lain tetapi untuk bermasyarakat.

· Manusia mesti memahami sebaik mungkin cara hidup bermasyarakat.
· Memahami budaya masyarakat sendiri dan masyarakat lain.

· Terus memupuk kerjasalam dalam masyarakat sendiri dan dengan masyarakat lain. Sifat dan ciri-ciri masyarakat perlu diketahui dan difahami kerana masyarakat adalah dinamik.

3.2 Konsep Budaya

Perkataan budaya diambil daripada bahasa Sanskrit dan melayu iaitu daripada perkataan budhi dan daya. Budhi bermaksud kecergasan fikiran dan akal. Daya pula bermaksud kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Menurut Kamus Mutakhir Bahasa Melayu (1992), budaya didefinisikan sebagai cara hidup sesuatu masyarakat hasil kegiatan dan ciptaan akal manusia seperti kepercayaan, kesenian, adat istiadat dan lain-lain lagi. Menurut Norazit Selat (1989), Leslie White berpendapat bahawa “Kebudayaan adalah satu orgnaisasi fenomena-perlakuan (pola-pola tingkah laku); objek-objek (alat-alat bertukang dan barang-barang lain yang dibuat daripada alat-alat tadi); idea-idea (kepercayaan dan ilmu pengetahuan); dan sentiment-sentimen (sikap, nilai) yang bergantung kepada penggunaan simbol-simbol”[2]

Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2007), ciri-ciri budaya adalah seperti berikut[3]: -
· Dipelajari.
· Dikongsi.
· Bersifat sejagat.
· Diwarisi.
· Berubah-ubah.
· Mempunyai unsure simbolik.
· Adanya worldview (pandangan semesta).


3.3 Konsep Perpaduan dan Integrasi

Menurut Jayum A. Jawan (1997), perpaduan dan integrasi merupakan dua konsep yang saling berkait rapat dan sering digunakan bersilih ganti. Perpaduan dan integrasi adalah merujuk kepada proses menggbungkan bahagian-bahagian menjadi satu unit. Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2007), perpaduan adalah satu proses menyatupadukan masyarakat dan engara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti, nilai bersama, perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Integrasi pula adalah satu proses mewujudkan satu identiti nasional dalam kumpulan terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Terdapat lima bentuk integrasi iaitu segregasi, akomodasi, akulturasi, asimilasi dan amalgamasi seperti berikut: -

· Segregasi

o Pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik lain dalam sesebuah negara. Pemisahan berlaku dalam beberapa perkara seperti tempat tinggal, sistem persekolahan dan pengangkutan serta kemudahan awam. Segregasi wujud didasari oleh undang-undang atau sebaliknya.

· Akomodasi

o Akomodasi diwakili formula A+B+C = A+B+C. Dikatakan bahawa A, B dan C merujuk kepada budaya. Akomodasi adalah proses yang menyebabkan setia kumpulan etnik menyedari dan menghormati nilai-nilai kumpulan etnik lain serta mempertahankan budaya masing-masing. Umpamanya, setiap kumpulan etnik mempunyai wakil dalam pentadbiran negara.

· Akulturasi

o Akulturasi adalah satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari suatu kebudayaan yang berbeza. Akulturasi tidak menyebabkan kehilangan identiti asal sesuatu etnik.

· Asimilasi

o Asimilasi diwakili formula A+B+C = A. Dikatakan bahawa A adalah golongan etnik dominan manakala B dan C adalah kumpulan etnik minoriti. Asimilasi adalah satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti sama.

· Amalgamasi

o Amalgamasi diwakili formula A+B+C = D. Dikatakan bahawa A, B dan C adalah golongan etnik berbeza dan D adalah satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A, B dan C. Amalgamasi adalah satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk budaya dan ras baru.

4.0 HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

Hubungan etnik di Malaysia dapat dilihat dalam tiga fasa utama iaitu sebelum merdeka, selepas merdeka dan selepas hampir 50 tahun merdeka.

4.1 Sebelum Merdeka

Pada zaman penjajahan British, pelbagai dasar telah diperkenalkan menyebabkan jurang perbezaan antara etnik di negara ini menjadi amat ketara dalam semua bidang seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan tempat tinggal. Pihak British telah memperkenalkan dasar-dasar pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama menggalakkan kemasukan buruh asing dari negara Cina dan India. Tindakan pihak British secara tidak langsung telah mengubah komposisi kaum di negara ini. Pada zaman penjajahan British, hubungan etnik terpisah dari segi budaya, ekonomi, politik, sosial dan tempat tinggal sehingga perang dunia kedua. Dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule) pihak British telah melahirkan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri berbeza dari segi penempatan dan pekerjaan seperti berikut: -

· Etnik Melayu tertumpu di kawasan kampung-kampung dan bekerja sebagai petani, pesawah, nelayan, pertukangan dan sebagainya.

· Etnik Cina tertumpu di kawasan bandar dan bekerja di kawasan lombong, melibatkan diri dalam perniagaan runcit dan sebagainya.

· Etnik India tertumpu di kawasan estet dan lading-ladang. Bekerja sebagai penoreh, buruh binaan dan sebagainya.

Pada zaman pemerintahan Jepun pula, penindasan terhadap etnik Cina berlaku. Permusuhan ini adalah kesan daripada perang Jepun-China pada tahun 1937. Pihak Jepun menjaga hubungan baik dengan masyarakat Melayu dan orang-orang Melayu diberi peluang untuk bekerja dalam pentadbiran. Pihak Jepun juga menjaga hubungan baik dengan orang-orang India. Sistem pemerintahan Jepun yang berat sebelah telah mengundang permusuhan di kalangan etnik Cina dan Melayu. Etnik Cina aktif berpolitik dan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun. PKM berfungsi menjaga dan membela nasib orang Cina yang tertindas.

Parti politik Cina telah menyiksa orang-orang Melayu sebagai tanda membalas dendam setelah pihak Jepun berundur dari Tanah Melayu. Jurang di antara etnik pada zaman penjajahan adalah amat besar dan menimbulkan ketidakpuasan di kalangan pelbagai etnik di negara ini. Etnik Cina dan India berusaha ke arah mendapatkan taraf sama rata seperti etnik dominan Melayu. Secara tidak langsung, tindakan etnik Cina dan India telah mengundang rasa tidak puas hati di kalangan etnik Melayu sehingga tertubuhnya Malayan Union pada 1 April 1946 dan Isu Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan kemerdekaan ketiga-tiga etnik ini telah bersatu dan bekerjasama membentuk Parti Perikatan yang dianggotai oleh parti UMNO, MCA dan MIC. Pembentukan ketiga-tiga jenis parti ini telah banyak menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional di kalangan etnik di negara ini. Berikut adalah beberapa ciri-ciri parti politik UMNO, MCA dan MIC: -

· Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah ditubuhkan pada tahun 1946. UMNO diasaskan oleh Dato Onn Jaafar. UMNO ditubuhkan bertujuan untuk menentang Malayan Union dan berjuang menuntut kemerdekaan.

· Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) telah ditubuhkan pada tahun 1949. MCA diasaskan oleh Tan Cheng Lock. MCA ditubuhkan bertujuan untuk melindungi kepentingan Cina dan bekerjasama dengan etnik lain untuk mencapai kemerdekaan.

· Kongres India Tanah Melayu (MIC) telah ditubuhkan pada Tahun 1949. MIC diasaskan oleh John Thivy. MIC ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kaum India dan memperjuangkan kemerdekaan bersama etnik lain.

Tidak dinafikan secara tidak langsung kedatangan Inggeris telah membawa kepada usaha-usaha perpaduan melalui tindakan pembentukan Jawatankuasa Perhubungan Kaum. Hubungan etnik juga amat baik semasa menentang komunis.

4.2 Selepas Merdeka

Selepas merdeka, wujud kerjasama erat di kalangan etnik di Malaysia. Kerjasama erat juga wujud sebelum dan selepas penubuhan Malaysia. Ancaman-ancaman luar seperti konfrontasi Indonesia telah mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Hubungan yang baik antara etnik mengundang kepada usaha nasional untuk merapatkan hubungan etnik sedia ada dari masa ke semasa. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan telah banyak memberikan implikasi positif kepada perpaduan etnik di negara ini sehingga kini. Penglibatan semua kaum dalam perancangan negara secara tidak langsung membentuk keharmonian sehingga kini. Dari segi politik, orang Melayu diwakili oleh Parti Umno, orang Cina diwakili oleh MCA dan orang india diwakili oleh MIC. Perpaduan etnik telah membentuk Parti Perikatan dan akhirnya parti perikatan ini telah berjaya dalam pilihanraya untuk membentuk kerajaan sendiri. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan untuk merapatkan hubungan etnik seperti berikut: -

· Dasar Pelajaran Kebangsaan

Pembentukan Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan sebagai usaha untuk menyatupadukan murid-murid dari semua kumpulan etnik ke dalam satu sistem pelajaran yang sama dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Umumnya, dalam pendidikan usaha memupuk perpaduan dan persefahaman disalurkan melalui kurikulum dan ko-kurikulum sekolah. Matlamat penting dasar ini adalah memupuk perpaduan dan integrasi nasional melalui elemen-elemen seperti berikut: -

ü Pertama, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.

ü Kedua, menyediakan sukatan pelajaran yang sama kandungannya.

· Dasar Ekonomi Baru (DEB)

DEB termaktub dalam rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama. DEB merupakan satu program jangka panjang yang mengambil masa selama 20 tahun. DEB dimulakan pada tahun 1970. Beberapa Matlamat utama DEB membantu dalam pembentukan integrasi nasional dalam pelaksanaannya adalah seperti berikut: -

ü Penyusunan semula masyarakat majmuk untuk mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

ü Membasmi kemiskinan. Ketidakseimbagan ekonomi etnik berpunca daripada dasar pecah dan perintah Inggeris. Pengelasan etnik mengikut pekerjaan dan pelajaran telah menyebabkan interaksi etnik Melayu, Cina serta India kurang berlaku.

ü Mengurangkan ketidakseimbangan dalam gunatenaga supaya penyertaan etnik adalah seimbang.

· Dasar Pembangunan Nasional

Dasar Pembangunan Nasional (DPN) merupakan kesinambungan kepada DEB yang berakhir pada tahun 1990. Program DPN meliputi perkara-perkara seperti berikut: -

ü Membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

ü Memastikan keseimbangan kaum dalam pelbagai aspek.

ü Meningkatkan penggunaan sains dan teknologi.

ü Menerapkan nilai sosial, kerohanian dan amalan cintakan alam sekitar.

ü Meningkatkan peluang dan kemudahan pendidikan.

4.3 Selepas Hampir 50 Tahun Merdeka

Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan sehingga kini, negara mengecapi kemerdekaan mencecah ke usia 52 tahun. Suatu tempoh yang cukup mematangkan dalam pembentukan sesebuah negara. Kemakmuran negara pada hari ini adalah disebabkan oleh wujudnya persefahaman dan sikap toleransi di kalangan etnik berbilang bangsa, budaya dan agama. Pembentukan dasar menyeluruh dan kesinambungan program pembangunan negara telah banyak membantu dalam membentuk hubungan erat di kalangan etnik di negara ini. Pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan misi Wawasan 2020 dan rancangan-rangcangan pembangunan banyak membantu dalam membentuk dan mengekalkan hubungan etnik yang baik di kalangan masyarakat majmuk berbilang kaum, bangsa dan agama.

Umpamanya, dalam Wawasan 2020 digariskan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi melibatkan hubungan etnik untuk menjadikan negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 diwujudkan bertujuan untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Dalam wawasan ini, sembilan cabaran berkaitan dengan hubungan etnik dikenalpasti untuk dihadapi seperti berikut: -

ü Membentuk negara bersatu padu dan satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

ü Mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan gagah menghadapi pelbagai masalah.

ü Membentuk dan memperkembang masyarakat demokratik matang yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia unggul berasaskan muafakat dan musyawarah, dan dapat dicontohi oleh negara-negara membangun.

ü Mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika sepenuhnya dengan warganegara Malaysia mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian utuh serta didorong oleh piawaian etika paling tinggi.

ü Mewujudkan masyarakat matang bersifat liberal dan bertoleransi dengan setaip rakyat bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing serta pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu negara.

ü Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat berdaya cipta serta berpandangan jauh iaitu masyarakat yang bukan saja menjadi pengguna teknologi tetapi menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

ü Membentuk masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah masyarakat yang lebih mementingkan masyarakat berbanding diri sendiri.

ü Membentuk masyarakat yang adil ekonominya iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan secara adil dan saksama.

ü Membentuk masyarakat makmur dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamik dan ada daya ketahanan.

5.0 HUBUNGAN ETNIK: PENCAPAIAN SELEPAS HAMPIR 50 TAHUN MERDEKA

Pencapaian negara selepas hampir 50 tahun merdeka sehingga kini jelas memperlihatkan perubahan cemerlang termasuklah dalam memupuk hubungan etnik di negara ini. Hubungan etnik yang baik dan harmoni menjadikan Malaysia cemerlang serta unik di mata dunia. Hubungan etnik dan pencapaian selepas hampir 50 tahun dapat dilihat dalam pelbagai perkara antaranya dalam aspek politik, ekonomi, budaya dan agama.

5.1 Politik

Perlembagaan Malaysia banyak menyumbang kepada perpaduan etnik di negara ini. Melalui perlembagaan Malaysia, ketuanan Melayu selaku penduduk dominan di negara ini terpelihara dan pada masa yang sama kepentingan etnik lain tidak diabaikan sebaliknya wujud toleran untuk mereka hidup aman dan makmur di negara ini. Perlembagaan sentiasa dipinda dari masa ke semasa mengikut kepentingan sejagat dan menyeluruh. Menurut Md. Bohari Ahmad (1997), Tun Mohamed Suffian telah mengariskan ciri-ciri asas perlembagaan Malaysia seperti berikut[4]: -

ü Perlembagaan mengasaskan Malaysia sebagai sebuah persekutuan.

ü Sebagai negara raja berperlembagaan.

ü Sebagai negara demokrasi berpalimen.

ü Perlembagaan memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan tetapi pada masa yang sama tidak mengasaskan Malaysia sebagai negara teokrasi dan dengan jelas menjamin kebebasan beragama.

ü Perlembagaan memperuntukkan ketinggian perlembagaan dan kebebasan undang-undang.

ü Perlembagaan memperuntukkan pengasingan kuasa ketiga-tiga cabang kerajaan bermakna seluruh jentera pentadbiran bukan saja eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri dan dibantu oleh cabinet serta seluruh birokrasi. Ketiga-tiga cabang adalah Parlimen, Eksekutif dan Badan Kehakiman. Ketiga-tiga mempunyai status sama dan tiada satu yang lebih tinggi di antara satu sama lain serta setiap satu mempunyai fungsi dan tanggungjawab berbeza.

ü Perlembagaan memperuntukkan sebuah badan kehakiman yang berasingan dan bebas daripada kawalam Parlimen dan Eksekutif malah mempunyai bidang kuasa eksekutif untuk menentukan pertikaian dan hak-hak serta liability lain dalam Perlembagaan.

Selepas 50 tahun merdeka kita dapati kesinambungan perkongsian pemerintahan terus berlangsung sehingga kini. Parti Perikatan UMNO, MCA dan MIC terus berlangsung sehingga kini walaupun wujud persaingan dengan parti pembangkang yang lain. UMNO didominasi oleh orang-orang Melayu, MCA didominasi oleh orang-orang Cina dan MIC didominasi oleh orang-orang India. Setiap etnik diwakili dalam pentadbiran negara. Secara tidak langsung hal ini menunjukkan bahawa tiada sekatan untuk etnik-etnik lain selain etnik Melayu menceburkan diri dalam bidang politik.

Walaupun dalam bidang pentadbiran keutamaan diberikan kepada etnik Melayu namun etnik-etnik lain turut diberi peluang untuk mewakili etnik mereka melibatkan diri secara langsung dalam pentadbiran negara.


5.2 Ekonomi

Dalam rancangan pembangunan nasional, aspek etnik turut menjadi keutamaan. Pelbagai dasar dan program pembangunan dirangka dan dilaksanakan demi untuk mencapai kemajuan menyeluruh meliputi semua lapisan etnik di negara ini. Dalam Rancangan Malaysia ke-9, terdapat rancangan lima tahun yang menjadi pemacu kepada misi nasional ke arah mencapai wawasan 2020. Di bawah pemerintahan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Rancangan Malaysia ke-9 merupakan kesinambungan perancangan kerajaan membentuk negara yang maju dari segi ekonomi, seimbang dari segi pembangunan sosial, memiliki masyarakat bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh. Terdapat lima teras yang menjadi misi nasional yang menyumbang kepada perpaduan etnik di Malaysia seperti berikut: -

ü Teras Pertama: Meningkatkan Nilai Tambah Dalam Ekonomi Negara

o Meningkatkan nilai tambah dalam sector pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.
o Menjana sumber kekayaan baru melalui ICT dan bioteknologi.
o Meningkatkan pewujudan pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
o Menjadikan sektor swasta peneraju pembangunan ekonomi.
o Memperluas pasaran bagi produk dan perkhidmatan Malaysia.

ü Teras Kedua: Meningkatkan Keupayaan Pengetahuan dan Inovasi Negara serta Memupuk Minda Kelas Pertama

o Meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan.
o Memperkukuhkan keupayaan R&D, Sains dan Inovasi.
o Memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.
o Memperkasakan belia dan wanita.

ü Teras Ketiga: Menangani Masalah Ketidaseimbangan Sosioekonomi Secara Membina dan Produktif

o Basmi kemiskinan.
o Memacu pembangunan wilayah.
o Mengurangkan jurang kekayaan.
o Penstrukturan semula pola pekerjaan.
o Membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera generasi baru.
o Mencapai pembangunan lebih seimbang dan bermakna.

ü Teras Keempat: Meningkatkan Tahap dan Kemampuan Kualiti Hidup
o Memenuhi keperluan perumahan dan menambah baik perkhidmatan perbandaran.
o Menambah baik perkkhidmatan kesihatan.
o Menambah baik kemudahan prasarana pengangkutan.
o Menjamin bekalan tenaga mampan.
o Mempertingkat sistem pembekalan air dan menangani banjir.
o Memastikan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber mampan.
o Membangunkan sukan.
o Menjamin pertahanan negara dan ketenteraman awam.

ü Teras Kelima: Mengukuhkan Keupayaan Institusi dan Keupayaan Pelaksanaan Negara

o Menggalakkan tadbir urus yang baik.
o Mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
o Pembangunan melalui kerjasama antarabangsa.

5.3 Budaya

Dari aspek budaya, wujud kebudayaan nasional yang menjadi asas perkongsian semua etnik tanpa mengira kaum, keturunan dan wilayah. Kebudayaan nasional menjadi asas kepada pembentukan bangsa, jati diri nasional dan perpaduan etnik. Kebudayaan nasional dibentuk berpandukan tiga prinsip dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan seperti berikut: -

ü Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal negara ini.

ü Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsure kebudayaan kebangsaan.

ü Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Antara amalan masyarakat Malaysia adalah rumah terbuka. Rumah terbuka diadakan oleh semua etnik apabila tiba musim perayaan. Semua etnik saling kunjung-mengunjungi antara satu sama lain walaupun berbeza budaya dan agama. Amalan ini memperlihatkan usaha pelbagai etnik untuk mencari keserasian dan kesamaan agar perayaan dapat dirayakan bersama. Contohnya Perayaan Tahun Baru Cina, Perayaan Hari Deepavali, Pesta Gawai dan Pesta Keamataan memperlihatkan usaha etnik-etnik bukan melayu serta bukan beragama Islam menyediakan hidangan dan makanan halal agar dapat diraikan oleh masyarakat daripada etnik Melayu. Sikap toleransi dan pertimbangan antara kaum jelas memperlihatkan keharmonian hubungan etnik terjalin kukuh, saling memahami dan menghormati budaya antara satu etnik dengan etnik yang lain. Hal ini jelas menunjukkan tentang integrasi sosial antara etnik walaupun berbeza budaya, agama dan bangsa.

5.4 Agama

Perpaduan hubungan etnik dapat dilihat dari aspek keagamaan. Amalan dan sikap toleransi beragama sehingga kini telah memupuk hubungan harmoni di kalangan etnik yang berbilang agama di negara ini. Di Malaysia, umumnya etnik Melayu beragama Islam, etnik Cina beragama Buddha dan etnik India beragama Hindu. Wujud juga beberapa etnik menganut agama Kristian. Agama Islam memberi penekanan kepada aspek keamanan, hubungan baik sesama umat manusia dan kebebasan dalam beragama. Surah Al-Baqarah ayat 256 menyatakan bahawa “Tidak ada paksaan dalam menganut agama, sesungguhnya telah jelas petunjuk itu daripada kesesatan”. Dalam Perlembagaan Malaysia juga dinyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi pada masa yang sama tidak mengasaskan Malaysia sebagai negara teokrasi dan dengan jelas menjamin kebebasan beragama di kalangan etnik berbilang agama di negara ini.

6.0 HUBUNGAN ETNIK DAN CABARAN

Pelbagai usaha dirancang dan dilancarkan demi untuk meneruskan usaha memupuk keharmonian kaum di negara ini. Pelbagai cabaran dihadapi dalam mengekalkan dan memupuk perpaduan etnik. Umumnya, cabaran dibahagikan kepada dua elemen utama iaitu cabaran internal dan external seperti berikut: -

ü Sikap sesetengah pihak yang mementingkan diri sendiri dan memperjuangkan hak etnik masing-masing serta cuba menidakkan etnik Melayu sebagai bangsa dominan di negara ini memberi cabaran hebat kepada hubungan etnik di negara ini. Tindakan pihak ketiga mencetuskan rasa tidak puas hati semua pihak yang pastinya mengundang kepada perpecahan.

ü Dasar “pecah dan perintah” oleh British memberi implikasi kepada hubungan etnik sehingga kini. Etnik Melayu, Cina dan India terasing dari segi penempatan dan jenis pekerjaan. Hal ini telah menyebabkan interaksi di kalangan etnik amat kurang khususnya yang tinggal dalam wilayah berbeza. Implikasinya terhadap hubungan etnik memperlihatkan perbezaan dari aspek lokasi berbeza merupakan perkembangan yang kurang sihat dalam pemupukan hubungan etnik di Malaysia.

ü Sistem pendidikan yang tersendiri memperlihatkan tentang dominasi mengikut kepentingan etnik masing-masing. Pelajar Melayu menuntut di sekolah Melayu dan menggunakan bahasa perantaraan bahasa Melayu. Pelajar Cina menuntut di sekolah Cina dan juga menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa perantaraan. Pelajar India menuntut di sekolah Tamil dan menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar.

Hal ini menyebabkan interaksi antara etnik amat terhad dan interaksi hanya tertumpu dalam kumpulan etnik yang sama. Implikasi bagi hubungan etnik ini hanya memberikan kesan yang negatif kepada negara Malaysia. Hasilnya, masing-masing cuba mempertahankan bahasa ibunda. Termasuklah mengamalkan sistem pendidikan yang berbeza. Justeru itu, cabaran wujud dalam usaha membentuk suatu kesatuan sistem pendidikan bersepadu yang sesuai untuk semua etnik. Sistem pendidikan yang berbeza secara tidak langsung memberikan impak yang kurang baik kepada penstrukturan negara. Cabaran dalam aspek pendidikan harus dipandang serius oleh semua pihak kerana jika ini berlarutan akan wujud perasaan kekitaan di kalangan etnik masing-masing.

ü Cabaran dari aspek budaya juga harus diambil kira. Ini kerana bentuk penajajahan baru oleh kuasa-kuasa asing adalah melalui ledakan budaya. Masyarakat berbilang etnik terdedah kepada cara pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Aspek kepercayaan dan agama semakin dipinggirkan memandangkan terlalu memikirkan keseronokkan dunia.

ü Cabaran dari aspek ekonomi. Kepentingan etnik dari sudut ekonomi adalah melalui penguasaan ekonomi dan perbezaan pekerjaan. Etnik Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan berteknologi rendah. Etnik Cina menguasai sektor yang lebih maju seperti perniagaan, perdagagan dan menggunakan teknologi moden. Etnik India terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Wujud jurang pendapatan ketara di kalangan etnik. Masing-masing cuba bersaing mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar.

Penguasaan ekonomi yang berbeza dan jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati semua golongan etnik. Justeru itu, cabaran ini perlu diambil kira dalam menjaga perpaduan di kalangan etnik. Perpaduan di kalangan etnik tidak boleh dicapai tanpa kesaksamaan dan keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan sosial dan etnik melalui penyertaan mereka dalam pembangunan negara dan dalam perkongsian manfaat daripada permodenan dan pertumbuhan ekonomi.
ü Cabaran dari aspek politik. Politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat kata sepakat. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik tidak akan mampu menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu. Semua etnik saling berusaha untuk mengekalkan identiti masing-masing sehingga boleh membawa kepada hilangnya semangat memupuk semangat taat setia kepada negara.

ü Cabaran dari aspek nilai-nilai etnik. Setiap etnik di Malaysia mempunyai perbezaan dari segi agama, bahasa, dan kebudayaan. Kaum Melayu, Cina dan India mempunyai agama, bahasa dan kebudayaan berbeza. Perbezaan ini bertambah sukar apabila setiap etnik fanatik dengan bahasa dan kebudayaan masing-masing. Kesannya, setiap etnik lebih mengutamakan anggota sendiri daripada etnik yang berbeza dalam memilih sahabat dan mendapatkan perkerjaan. Kesukaran untuk hidup dalam satu kelompok yang sama akan menimbulkan kekecohan di kawasan tersebut. Ini kerana masyarakat pelbagai etnik mempunyai masalah dalam berkomunikasi dengan etnik-etnik lain memandangkan mereka terbiasa hidup dengan masyarakat dalam etnik yang sama.

ü Cabaran dari segi globalisasi. Semua etnik perlu berani menyahut cabaran globalisasi agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dalam bidang teknologi dan perkembangan komunikasi. Aspek cabaran globalisasi perlu diambil kira dalam memupuk semangat perpaduan etnik di Malaysia. Setiap perancangan dan pelaksanaan program perpaduan perlu mengambil kira cabaran globalisasi agar jurang di antara etnik dapat dikurangkan.

7.0 KESIMPULAN

Malaysia mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah lebih dari 100 tahun berada di bawah kekuasaan dan penjajahan kuasa-kuasa asing dan sehingga kini negara telah mengecapi kemerdekaan hampir mencecah 52 tahun. Penjajahan dan pemerintahan kuasa-kuasa asing seperti British dan Jepun meninggalkan implikasi kepada negara secara tidak langsung. Termasuklah mempengaruhi populasi rakyat Malaysia sehingga kini. Kewujudan masyarakat majmuk di negara ini dipercayai semakin ketara di zaman pemerintahan British yang menggalakkan migrasi orang-orang Cina dan India ke negara ini untuk bekerja sebagai buruh kasar. Dasar Pecah dan Perintah yang diamalkan oleh pihak British telah memberi kesan yang amat besar kepada penyatuan kaum di negara ini. Populasi etnik di Malaysia sehingga kini meliputi tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Pelbagai usaha diambil untuk meneruskan agenda nasional dan secara tidak langsung memupuk ke arah hubungan etnik yang harmoni dan bersatu padu. Diantaranya adalah pelaksanaan Wawasan 2020, pelaksanaan pelan pembangunan lima tahun, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan sebagainya. Usaha untuk memupuk perhubungan etnik di negara ini tidak akan mencapai matlamatnya tanpa adanya kerjasama daripada semua pihak.

Dalam era globalisasi terdapat banyak cabaran yang mampu menggugat perpaduan di kalangan etnik di negara ini. Isu-isu internal dan external menyumbang kepada kegoyahan hubungan etnik jika tidak ditangani dengan bijak. Kestabilan ekonomi dan politik merupakan asas kepada perpaduan hubungan etnik. Perpaduan yang dikecapi pada hari ini perlu dihargai agar terus dirasai oleh generasi akan datang. Kegagalan mengekalkan perpaduan memudahkan dominasi negara-negara lain untuk menakluki negara kita. Semua etnik tanpa mengira batas agama, budaya dan adat perlu belajar daripada sejarah agar sejarah penjajahan yang telah berlangsung lebih dari seratus tahun tidak akan berulang. Cabaran era globalisasi hadir tanpa mampu dielak oleh sesebuah negara. Justeru itu, sesebuah negara perlu bijak dalam membuat perancangan agar dapat mengharungi cabaran yang datang. Keupayaan sesebuah negara mengharungi cabaran-cabaran dengan baik mampu menjadikan negara berkenaan sebaris dengan negara-negara maju yang lain.
BIBLIOGRAFI
Abdul Latiff Abu Bakar. (1996). Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia. Institut Kajian Sejarah Malaysia Cawangan Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka (diterbitkan bersama Universiti Malaya, Kuala Lumpur)
Abdul Rahim Abu Bakar. (2001). Kelangsungan Hidup Bahasa Melayu Sebagai Tonggak Negara Barat Dalam Gelombang Globalisasi. Dewan Bahasa. Oktober 2001, Jilid 1 Bil.10
Ann Wan Seng. (1994). Perayaan Orang Cina. Kuala Lumpur. Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Arena Wati. (1978). Pribumi Sabah (Kadazan/Dusun). Yayasan Sabah. Kota Kinabalu.
Asmad. (1990). Seni Kehidupan & Kemasyarakatan. Melaka. Associated Educational Distributors (m) Sdn. Bhd.
Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan. (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang. Penerbit Universiti Putra Malaysia
Daud Baharum. (1992). Kamus Mutakhir Bahasa Melayu. Longman Malaysia Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Harliana Halim. ( ). Hubungan Etnik Di Era Penjajahan Hingga Kemerdekaan.
http://www.scribd.com/doc/13377066/Hubungan-Etnik-Di-Era-Penjajahan-Hingga-Kemerdekaan-H
Mohd. Mahadee. (2007). Isu-Isu Kontemporari: Politik dan Media. Titas. Penerbit Universit Putra Malaysia. Serdang.
Nazaruddin Mohd. Jadi et. Al. (1996). Kenegaraan Malaysia. Sejarah Awal, Kemerdekaan & Pembentukan Malaysia. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Norazit Selat. (1989). Konsep Asas Antropologi. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Nurdeng Deuraseh. (2007). Isu-Isu Kontemporari: Hegemoni Barat dan Globalisasi. Titas. Penerbit Universiti Putra Malaysia. Serdang.
Ma’rof Redzuan, Mohamad Shatar Sabran & Zahid Emby. (2001). Pengantar Sosiologi dan Antropologi Sosial. Penerbit Universiti Putra Malaysia. Serdang.
Mark H. & Zainuddin Z. (1990). Muzium Negara Kuala Lumpur : Sejarah dan Kehidupan Malaysia. Kuala Lumpur. Syarikat S.Abdul Majeed.
Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Hubungan Etnik. Pusat Penerbitan Unviersiti (UPENA) Universiti Teknologi Mara. Shah Alam.

______. (2002). Kamus Dewan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

______. (2006). Kamus Dewan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

______. ( ). Pembentukan Masyarakat Majmuk di Malaysia.
http://zanas.wordpress.com/tirai-kemerdekaan-negara/pembentukan-masyarakat-majmuk-di-malaysia/
______. ( ). Cabaran Peranan Hubungan Etnik.
http://www.scribd.com/doc/15080867/cabaran-peranan-hubungan-etnik
[1] Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam. Pusat Penerbitan Universiti. Muka surat 9
[2] Norazit Selat, Konsep Asas Antorpologi , Dewan Bahasa dan Pustaka 1989, m/s 50 – m/s 51
[3] Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam. Pusat Penerbitan Universiti. Muka surat 9
[4] Md. Bohari Ahmad. (1997). Kenegaraan Malaysia: Perlembagaan Malaysia. Serdang. Penerbit Universiti Putra Malaysia. Muka surat 137-138.

2 comments: